Sabtu, 17 Februari 2024 | 10:44am
Pengerusi Persidangan Keselamatan Munich (MSC), Christoph Heusgen, menyampaikan ucaptama sempena persidangan tahunan ke-60 di Hotel Bayerischer Hof di Munich, selatan Jerman. - Foto AFP
Pengerusi Persidangan Keselamatan Munich (MSC), Christoph Heusgen, menyampaikan ucaptama sempena persidangan tahunan ke-60 di Hotel Bayerischer Hof di Munich, selatan Jerman. - Foto AFP

Sidang keselamatan kumpul menteri AS, Arab, Eropah di Munich

MUNICH: Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS), Arab dan Eropah bertemu di Munich, Jerman pada Jumaat bagi membincangkan kemajuan merumuskan rancangan pasca perang di Gaza.

Pertemuan sempena Persidangan Keselamatan Tahunan Munich itu turut dikaitkan dengan usaha menjalin hubungan diplomatik antara Israel dan Arab Saudi, menurut diplomat.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken; Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan dan Menteri Luar Jordan, Qatar, Jerman, Britain, Perancis serta Itali adalah antara yang akan membincangkan isu itu di luar persidangan terbabit.

Menurut kenyataan rasmi, ia pertemuan pertama sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu apabila kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menyerang Israel.

Menurut pegawai kanan AS, matlamatnya adalah untuk AS, negara Eropah dan Arab untuk berkongsi pendirian mereka mengenai kedudukan pasca perang Gaza, terutama jalinan hubungan diplomatik Israel-Arab Saudi.

Selain itu, integrasi Israel lebih meluas di Asia Barat dan jaminan keselamatannya, pengiktirafan negara Palestin dan rombakan struktur Pihak Berkuasa Palestin turut dibicarakan.

Negara Barat dan Arab sudah pun menunjukkan perpecahan mengenai konflik Israel-Palestin, namun tindak balas mereka sekarang kebanyakannya adalah untuk cuba meredakan krisis kemanusiaan di wilayah konflik itu.

Bagaimanapun, dengan jumlah korban awam yang semakin meningkat, mereka melihat terdapat keperluan mendesak untuk sekurang-kurangnya menyusun sesuatu langkah kemungkinan melanjutkan gencatan senjata.

Washington mengetuai rundingan dengan sekutu Arabnya itu, selari usaha untuk memastikan pembebasan tebusan Israel yang diculik Hamas.

Pegawai kanan AS berkata perjanjian tebusan, yang akan menyaksikan pembebasan baki 133 lagi tebusan dan mencapai jeda yang berpanjangan untuk menghentikan pertempuran yang sudah mengorbankan lebih 28,000 rakyat Palestin, adalah penting bagi rundingan politik lebih meluas selepas ini.

"AS bekerjasama dengan negara Arab. Jadi, adalah baik untuk mendengar apa yang mereka katakan.

"Ia berguna kerana semua orang cuba menggerakkan sesuatu. Lebih mendesak lagi kerana serangan yang akan dilancarkan Israel ke atas Rafah," kata seorang diplomat Eropah.

Israel berikrar untuk menyerang Rafah, wilayah kecil paling selatan di Gaza, selepas mendakwa Hamas bersembunyi dalam kalangan sekiatar 1.4 juta orang yang sudah dipindahkan dari utara dan berlindung di sana.

Dengan sebahagian besar pentadbiran AS menyokong Israel, terutama menjelang tempoh pilihan raya presiden AS, beberapa negara Eropah juga berminat memanfaatkan hubungan kukuh mereka dengan negara Arab untuk mengambil inisiatif bersama.

Diplomat Eropah itu berkata, biarpun keutamaan bagi negara Arab adalah bekerjasama dengan Washington, potensi kemenangan oleh bekas Presiden Donald Trump dalam pemilihan presiden pada November boleh mengubah landskap.

"Peranan negara Eropah di Asia Barat mungkin meningkat. Ini satu format yang berguna untuk negara-negara Arab pada masa hadapan," kata diplomat itu. - REUTERS

Berita Harian X