Jumaat, 16 Februari 2024 | 10:52pm
Ahli Parlimen kerajaan Greece memberi tepukan ketika proses undian RUU perkahwinan sesama jenis di Athens semalam. - Foto AFP
Ahli Parlimen kerajaan Greece memberi tepukan ketika proses undian RUU perkahwinan sesama jenis di Athens semalam. - Foto AFP

Undian RUU perkahwinan sejenis di Greece silap kira

ATHENS: Parlimen Greece hari ini, meminda jumlah Ahli Parlimen yang menyokong reformasi perkahwinan sejenis kepada 175 berbanding 176 sebelum ini.

Parlimen dalam kenyataannya berkata undi menolak dari Ahli Parlimen kerajaan sebelum ini, disalah kira sebagai menyokong secara tidak sengaja.

Sesi undian itu dibuat bagi meluluskan perkahwinan sejenis dan pengambilan anak angkat menyebabkan 'perpecahan' parti konservatif pemerintah Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis, yang secara peribadi memperjuangkan rang undang-undang (RUU) itu.

Hampir satu pertiga daripada 158 Ahli Parlimen mengundi menentang atau mengekalkan pendirian, selepas Gereja Ortodoks Greece menyatakan tentangan kuat terhadap reformasi terbabit.

Namun, RUU itu yang diluluskan dengan majoriti besar, susulan sokongan parti pembangkang.

Sementara itu, undi terbabit dianggap sebagai mercu tanda oleh pertubuhan lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ).

Menurut mereka, keluarga sejenis menghadapi cabaran pentadbiran yang rumit yang menyebabkan diskriminasi di bawah undang-undang keluarga sedia ada.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, puluhan orang yang mengibarkan bendera pelangi menyatakan kegembiraan di hadapan bangunan Parlimen di pusat Athens.

Selepas undang-undang ini diwartakan, Greece akan menjadi negara ke-37 di dunia dan pertama dalam kalangan negara Kristian Ortodoks untuk meluluskan pengambilan anak oleh keluarga sejenis.

Greece dikecam kerana diskriminasi anti gay oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada tahun 2013, selepas pasangan gay dikecualikan daripada undang-undang perkahwinan sivil 2008.

Melalui pentadbiran kerajaan terdahulu, Greece pada tahun 2015 membenarkan perkahwinan sivil untuk pasangan sejenis, salah satu dari negara terakhir dalam Kesatuan Eropah yang melakukannya.

Undang-undang itu menyelesaikan isu harta tetapi tidak menyediakan peruntukan untuk pengambilan anak oleh pasangan.

- AFP

Berita Harian X