Sabtu, 10 Februari 2024 | 1:23pm
Gambar dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine pada 8 Februari ini menunjukkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kiri) bersalaman dengan Panglima Angkatan Tentera Ukraine, Valeriy Zaluzhnyi ketika pertemuan mereka di Kyiv. - AFP
Gambar dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine pada 8 Februari ini menunjukkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kiri) bersalaman dengan Panglima Angkatan Tentera Ukraine, Valeriy Zaluzhnyi ketika pertemuan mereka di Kyiv. - AFP

Zelenksy lobi lebih banyak bantuan daripada AS

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meminta bantuan bernilai berbilion-bilion lagi daripada Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan keupayaan pertahanan Kyiv, pada pertemuan dengan ahli dewan perwakilan dari Washington, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

"Saya yakin Kongres akan membuat keputusan untuk menyokong Ukraine dengan menyalurkan bantuan yang diperlukan. Ini akan mengukuhkan pertahanan kami," kata Zelensky di Kyiv, pada petang Jumaat.

Beliau menyiarkan video perbualan dengan ahli Dewan Perwakilan AS di rangkaian sosial X. Dewan itu telah menahan bantuan, dengan bekas presiden Donald Trump memberitahu Republikan bahawa beliau tidak mahu mereka meluluskannya kerana prosedurnya terikat dengan undang-undang imigresen AS.

"Kami tidak boleh membenarkan penularan perang dan kejahatan Rusia," menurut Zelensky.

Beliau membuat kenyataan itu ketika Canselor Jerman Olaf Scholz berada di Washington membincangkan mengenai pembiayaan perang Ukraine dengan Presiden AS Joe Biden.

Ukraine bergantung kepada sekutu, khususnya AS, untuk pembiayaan dan bekalan ketenteraan. Ia mahu meningkatkan sistem pertahanan udaranya dengan sistem Patriot AS dan kerjasama dalam pengeluaran dron moden dan peralatan untuk peperangan elektronik.

Dalam mesej videonya, Zelensky juga bercakap mengenai keperluan senjata jarak jauh "terutama ATACMS dengan jarak 300 km, yang masih belum diputuskan."

Ukraine masih menunggu bekalan peluru berpandu ATACMS daripada pengeluar Lockheed Martin dari Washington.

Kyiv juga mahukan peluru berpandu cruise Taurus Jerman, yang boleh memusnahkan kubu dan markas yang dilindungi sehingga 500 kilometer jauh. Bagaimanapun, wujud kebimbangan bahawa kedua-dua sistem senjata itu juga akan digunakan untuk menyerang sasaran di Russia.

Senjata jarak jauh itu termasuk peluru berpandu cruise Storm Shadow dan Scalp, yang sudah diterima Kyiv dari United Kingdom dan Perancis. – BERNAMA-dpa

Berita Harian X