Sabtu, 10 Februari 2024 | 10:28am
Serangan juga dikatakan menyasarkan hospital dan restoran di bandar Velykyi Berluk di timur Kharkiv. - Foto X Catdorina
Serangan juga dikatakan menyasarkan hospital dan restoran di bandar Velykyi Berluk di timur Kharkiv. - Foto X Catdorina

Kharkiv 'dibadai' dron Russia - Ukraine

KHARKIV: Pihak berkuasa tempatan mendakwa insiden kebakaran membabitkan rumah persendirian berpunca akibat serangan dron milik Russia yang disasarkan ke stesen petrol di Kharkiv, semalam.

Serangan terbabit juga dikatakan menyasarkan hospital dan restoran di bandar Velykyi Berluk di timur Kharkiv.

Bercakap menerusi rakaman video disiarkan diaplikasi Telegram di Kharkiv, Ketua Pejabat Pendakwa Tempatan, Oleksandr Filchakov, berkata stesen petrol di daerah Nemyshlianskyi diserang tiga dron, beberapa minit sebelum jam 11 malam.

Katanya, seorang maut akibat kejadian itu, selain menganggarkan angka itu mungkin bertambah dengan operasi mencari dan menyelamat masih berjalan.

"Kejadian kebakaran mengerikan ini berpunca daripada terlalu banyak bahan bakar," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov, berkata 14 rumah musnah dan 50 penduduk sudah dipindahkan.

Rakaman video yang dimuat naik Ihor menunjukkan api marak dan asap tebal di kawasan luas.

Bercakap kepada stesen penyiaran Suspilne, pegawai tentera tertinggi di Velykyi Burluk, Viktor Tereshchenko, berkata sebuah hospital dan restoran musnah akibat serangan dron dan perincian mangsa sedang disahkan.

Pegawai pula melaporkan serangan ke atas hospital di bandar itu minggu lalu, menyebabkan puluhan pesakit terpaksa dipindahkan.

Russia bagaimanapun enggan mengulas serangan itu, namun menyatakan serangan di lokasi awam itu tidak disengajakan.

Kharkiv sering menjadi sasaran serangan sejak permulaan perang Russia-Ukraine pada Februari 2022, selain jumlah kekerapannya meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Ketua wilayah di pelabuhan Laut Hitam Odesa pula berkata, seorang mangsa cedera akibat serangan dron.

Tiga orang pula dilaporkan maut akibat pengeboman di sebuah kampung di wilayah Sumy di sempadan Russia. -REUTERS

Berita Harian X