Jumaat, 2 Februari 2024 | 4:35pm
Serangan itu berlaku pada pagi Ahad di Gereja Katolik Santa Maria Itali di daerah Sariyer di Istanbul. - Foto AGENSI
Serangan itu berlaku pada pagi Ahad di Gereja Katolik Santa Maria Itali di daerah Sariyer di Istanbul. - Foto AGENSI

25 suspek ditahan susulan insiden tembak di gereja di Turkiye

ISTANBUL: Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc mendakwa pihak berkuasa telah menahan seramai 25 individu yang menjadi suspek susulan kes menembak seorang lelaki ketika upacara di sebuah gereja di Istanbul pada minggu lalu.

"Antara 25 individu yang ditahan reman adalah dua suspek lelaki bersenjata, yang sebelum ini ditangkap polis yang turut dipercayai mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS)," kata Yilmaz di platform media sosial X.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya sebelum ini mendakwa dua suspek utama berkenaan adalah warga asing daripada Tajikstan dan Russia.

IS dalam satu kenyataan di aplikasi Telegram berkata, pihaknya mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit dan mendakwa perkara itu adalah sebagai tindak balas kepada gesaan oleh pemimpin kumpulan itu untuk menyasarkan orang Yahudi dan Kristian.

Yilmaz berkata, 25 suspek berkenaan didakwa menganggotai sebuah pertubuhan haram dan sengaja melakukan pembunuhan berkenaan sambil menambah sembilan lagi suspek dibebaskan sementara menunggu proses perbicaraan.

Serangan itu berlaku pada pagi Ahad di Gereja Katolik Santa Maria Itali di daerah Sariyer di Istanbul.

Seorang warga Turkiye yang menjadi sasaran lelaki bersenjata itu terbunuh ketika menghadiri upacara terbabit.

Menurut sepupu mangsa, mangsa difahamkan pergi ke gereja ketika keluar bersiar-siar dan bagaimanapun mangsa dikatakan tidak mempunyai pertalian politik atau agama.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam gereja, memaparkan seorang lelaki bersenjata bertopeng memasuki bangunan dan menembak lelaki yang berjalan di hadapan mereka.

Sebelum ini, IS telah melakukan banyak serangan di seluruh Turkiye, termasuk di sebuah kelab malam di Istanbul pada 1 Januari 2017 yang menyebabkan 39 orang terbunuh.

Tambah Ali Yerlikaya, pihak berkuasa Turkiye telah menahan 2,086 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS sejak Jun 2023. - REUTERS

Berita Harian X