Jumaat, 2 Februari 2024 | 9:22am
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, menghadiri sidang Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, menghadiri sidang Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS

EU setuju hantar bantuan ketenteraan besar-besaran ke Ukraine

BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU), semalam berjaya melepasi halangan berbulan lamanya daripada pemimpin Hungary, Viktor Orban, untuk menghantar bantuan bernilai 50 bilion euro (RM255 bilion) ke Ukraine.

Ia secara langsung memberi mesej yang kuat kepada Russia bahawa EU akan terus menyokong Ukraine dari segi ketenteraan.

Perjanjian untuk mengekalkan aliran dana ke Ukraine itu dicapai selepas keraguan atas sokongan Barat terhadap Kyiv mendorong Presiden Russia, Vladimir Putin, meneruskan perang selepas hampir dua tahun menceroboh negara jiran itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, turut mengucapkan terima kasih atas dana EU itu, yang disebutnya sebagai 'sesuatu yang ditunggu-tunggu'.

"Hari ini EU membuat keputusan yang lama ditunggu-tunggu. Ini adalah isyarat jelas kepada Moscow bahawa Eropah akan bertahan dan Eropah tidak akan dipecahkan," kata Zelensky dalam ucapan pada waktu malam.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, selepas sidang kemuncak Brussels berakhir berkata, 'mesejnya jelas'.

"Russia tidak boleh mengharapkan sebarang kelesuan daripada orang Eropah dalam sokongan kepada Ukraine," katanya.

Tambah Macron, perjanjian itu juga menghantar mesej kepada Washington - di mana berbilion dolar bantuan masih tersekat di Kongres - 'bahawa EU ada di sini, komited untuk menyampaikannya'.

Dalam perhimpunan itu, Viktor Orbán membuat langkah mengejutkan apabila bersetuju untuk menggugurkan kuasa vetonya terhadap pakej empat tahun untuk Kyiv, selepas berdepan tekanan hebat daripada 26 pemimpin EU yang lain.

Pemimpin nasionalis Hungary itu juga dilihat hanya dapat menjamin janji mengenai kemungkinan semakan semula perbelanjaan dalam tempoh masa dua tahun.

Canselor Jerman, Olaf Scholz, menyuarakan harapan keputusan EU itu dapat membantu Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam meyakinkan Republikan meluluskan cadangan AS$60 bilion (RM283.4 bilion) untuk menyokong Ukraine.

"Saya berharap mesej dan perbincangan yang kami lakukan hari ini dapat membantunya," kata Scholz.

Wang EU akan mengisi kelompongan belanjawan kerajaan Ukraine sekali gus membolehkannya membayar gaji dan perkhidmatan, sewaktu berjuang menentang tentera Moscow.

Dalam perkembangan itu, Orban - sekutu terapat Russia di EU - membangkitkan kemarahan rakan sejawatannya dalam blok itu yang mahu menggagalkan perjanjian bantuan pada Disember.

Pemimpin lain menegaskan, sekiranya Orban masih tidak bersetu, 26 negara lain akan bergabung untuk memastikan bantuan mengalir kepada kerajaan Ukraine.

Sebaik sahaja bantuan Ukraine dipersetujui, pemimpin kemudiannya beralih kepada persoalan sokongan tentera EU untuk Kyiv.

Tuduhan dilemparkan kepada negara-negara utama EU seperti Perancis, Itali dan Sepanyol yang tidak serius untuk membekalkan senjata kepada Ukraine.

Scholz, yang menjadi negara penderma Eropah terbesar kepada Ukraine, turut menyeru negara lain memberikan sokongan ketenteraan mereka dan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu Kyiv.

"Pada pendapat saya, tidak semua negara anggota melakukan dengan cukup," katanya. - AFP

Berita Harian X