Isnin, 29 Januari 2024 | 8:56am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - Foto REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - Foto REUTERS

Pengurangan bantuan AS ke Ukraine satu 'isyarat buruk' - Zelensky

BERLIN: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran pengurangan bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) ke Kyiv akan menjadi 'isyarat buruk', ketika Presiden AS, Joe Biden, menghadapi sekatan Republikan untuk sokongan selanjutnya.

Susulan kemungkinan pengurangan bantuan, Zelensky kini menggesa Jerman menggunakan pengaruh ekonominya untuk meraih sokongan rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) bagi menambah bantuan kepada Kyiv dalam perjuangan menentang Russia.

"Tindakan pasif daripada AS atau pengurangan sokongan akan menjadi isyarat buruk," katanya kepada stesen penyiar kebangsaan Jerman, ARD.

Malah, Zelensky memberi amaran bahawa keadaan itu tidak sesuai atau menguntungkan kepada sesiapapun.

"Jerman boleh berjaya menyatukan EU," katanya menjawab soalan sama ada beliau berharap Berlin akan mengambil peranan yang lebih besar sekiranya bantuan daripada AS tidak lagi diperoleh.

Katanya, banyak negara mempunyai hubungan ekonomi yang penting dengan Jerman dan ekonomi mereka bergantung kepada keputusan Jerman kerana negara itu mempunyai ekonomi yang kukuh.

Dalam temubual berasingan pada Rabu, Canselor Jerman, Olaf Scholz, menggesa negara Eropah untuk meningkatkan ikrar bantuan senjata kepada Ukraine, sekali gus menimbulkan andaian sokongan dan bantuan daripada penyumbang terbesar iaitu AS, mungkin berakhir.

"Negara Eropah mesti meningkatkan usaha untuk menyokong Ukraine dalam mempertahankan negaranya sendiri," kata Scholz kepada siaran mingguan, Die Zeit.

Pada masa sama, beliau menegaskan sumbangan yang diperuntukkan negara-negara Eropah pada 2024 setakat ini kepada Ukraine 'tidak cukup besar'.

Biden sebelum ini menjadikan bantuan kepada Ukraine sebagai keutamaan dan senjata AS serta bantuan kewangan amat penting dalam membantu negara pro-Barat itu bertempur melawan pasukan penyerang Russia yang jauh lebih besar.

Bagaimanapun, pembangkang Republikan mengetuai desakan untuk menghentikan usaha itu, enggan membenarkan belanjawan baharu diluluskan melainkan Demokrat terlebih dulu bersetuju untuk melaksanakan langkah baharu yang tegas terhadap penghijrahan haram pendatang asing tanpa izin (PATI).

AS kini menempuhi tahun pilihan raya yang menyaksikan kembali persaingan antara Biden dengan Donald Trump, mendorong Zelensky memberi amaran 'dasar perang AS' mungkin berubah sekiranya Trump kembali mentadbir Rumah Putih. - AFP

Berita Harian X