Ahad, 28 Januari 2024 | 12:59pm
Ireland membiayai RM92 juta untuk UNRWA tahun lalu dan akan meneruskan sokongan tahun ini.
Ireland membiayai RM92 juta untuk UNRWA tahun lalu dan akan meneruskan sokongan tahun ini.

Ireland terus beri bantuan kepada Palestin

LONDON: Ireland kekal memberi sokongan kepada Palestin dan tidak bercadang menggantung pembiayaan bagi kerja kemanusiaan di Gaza oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Keputusan meneruskan sokongan dibuat selepas beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Itali, dan Australia memutuskan untuk menggantung pembiayaan kepada UNRWA berikutan tuntutan itu.

United Kingdom dan Finland juga mengumumkan penggantungan pembiayaan kepada UNRWA, semalam.

Menteri Luar Ireland, Micheal Martin, bagaimanapun berkata negaranya menyokong siasatan dakwaan pembabitan beberapa kakitangan agensi bantuan PBB itu dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel.

"Keyakinan penuh terhadap keputusan ketua agensi UNRWA, Philippe Lazzarini untuk menggantung serta-merta kakitangan yang disyaki terbabit dalam 7 Oktober dan menyiasat secara menyeluruh menunjukkan toleransi sifar terhadap keganasan," tulisnya di platform X.

Gambar diambil daripada bangunan kediaman yang rosak akibat pengeboman Israel di Rafah, selatan Gaza.- Foto AFP
Gambar diambil daripada bangunan kediaman yang rosak akibat pengeboman Israel di Rafah, selatan Gaza.- Foto AFP

Beliau berkata, agensi PBB untuk pelarian Palestin itu menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa kepada 2.3 juta orang dan dengan kos yang luar biasa dan lebih 100 kakitangan terbunuh dalam empat bulan lalu.

"Ireland tidak bercadang untuk menggantung pembiayaan untuk kerja penting UNRWA di Gaza," katanya sambil menambah menyediakan AS$19.5 juta (RM92 juta) pada 2023 dan akan meneruskan sokongannya pada 2024.

Selepas dakwaan Israel, UNRWA berkata, ia sudah menamatkan kontrak dengan beberapa kakitangannya atas dakwaan pembabitan mereka dengan serangan 7 Oktober ke atas Israel.

Berikutan itu, Israel melakukan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza hingga meragut sekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur kawasan itu rosak atau musnah, menurut PBB. - AGENSI

Berita Harian X