Ahad, 28 Januari 2024 | 7:48am
Seorang lelaki Palestin memegang beg tepung sementara yang lain menunggu untuk menerima bantuan daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) ketika gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, pada 29 November 2023. - REUTERS
Seorang lelaki Palestin memegang beg tepung sementara yang lain menunggu untuk menerima bantuan daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) ketika gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, pada 29 November 2023. - REUTERS

Enam lagi negara hentikan dana untuk UNRWA

LONDON: Enam negara Eropah menghentikan sementara pembiayaan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berikutan dakwaan beberapa kakitangan agensi itu terbabit dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Britain, Jerman, Itali, Belanda, Switzerland dan Finland menyertai Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada dalam menghentikan sementara pembiayaan sumber sokongan kritikal untuk penduduk di Gaza, selepas dakwaan oleh Israel.

Agensi itu berkata ia sudah membuka siasatan ke atas beberapa pekerja dan memutuskan hubungan dengan mereka.

Menteri Luar Israel, Israel Katz, berkata UNRWA harus diganti sebaik saja pertempuran di kawasan tamat dan mendakwa agensi itu mempunyai hubungan dengan kumpulan DAESH di Gaza.

"Dalam pembinaan semula Gaza, UNRWA mesti digantikan dengan agensi yang berdedikasi untuk keamanan dan pembangunan tulen," tulisnya di X.

Sementara itu, timbalan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Farhan Haq, tegaskan bahawa mereka tidak bertindak balas terhadap retorik berikutan UNRWA secara keseluruhan mempunyai rekod yang kukuh

Bagi Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, beliau berkata keputusan sembilan negara itu disifatkan mengancam kerja kemanusiaan di seluruh rantau ini, terutama di Gaza.

"Sungguh mengejutkan apabila melihat penggantungan dana kepada UNRWA sebagai reaksi atas dakwaan terhadap sekumpulan kecil kakitangan, walaupun tindakan segera sudah diambil dengan menamatkan kontrak mereka dan meminta siasatan bebas yang telus," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Lazzarini tidak mendedahkan bilangan pekerja yang didakwa terbabit dalam serangan itu dan menegaskan mana-mana kakitangan UNRWA yang terbabit dalam tindakan keganasan akan bertanggungjawab, termasuk melalui pendakwaan jenayah.

UNRWA yang ditubuhkan untuk membantu pelarian perang 1948 ketika penubuhan Israel sentiasa menolak tuduhan yang sama dan mengekalkan ia adalah agensi bantuan dan kemanusiaan.

Susulan itu, Kementerian Luar Palestin mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kempen Israel terhadap UNRWA dan Hamas mengutuk penamatan kontrak pekerja "berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada musuh Zionis."

Sementara itu, ketua badan politik, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh, berkata pemotongan sokongan kepada agensi itu membawa risiko politik dan bantuan yang besar.

"Kami menggesa negara-negara yang mengumumkan pemberhentian sokongan mereka kepada UNRWA supaya segera membatalkan keputusan mereka," katanya dalam platform X.

Kementerian Luar di Jerman yang juga penderma utama kepada UNRWA, mengalu-alukan siasatan UNRWA berikutan prihatin terhadap dakwaan yang dibangkitkan terhadap pekerja agensi itu.

"Kami jangka Lazzarini akan menjelaskan dalam tenaga kerja UNRWA bahawa semua bentuk kebencian dan keganasan sama sekali tidak boleh diterima dan tidak akan diterima," katanya di X. - REUTERS

Berita Harian X