Sabtu, 27 Januari 2024 | 8:33am
Demonstrasi pro-Palestin di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda ketika hakim memutuskan langkah kecemasan terhadap Israel berikutan tuduhan Afrika Selatan bahawa operasi ketenteraan Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai. - Foto REUTERS
Demonstrasi pro-Palestin di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda ketika hakim memutuskan langkah kecemasan terhadap Israel berikutan tuduhan Afrika Selatan bahawa operasi ketenteraan Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai. - Foto REUTERS

'Tamatkan perang': Dunia bertindak balas serangan Israel di Gaza

PARIS: Keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam tadi mencetuskan pelbagai reaksi.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkata Israel mesti menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke kawasan yang dikepung.

Peperangan di Gaza bermula dengan serangan 7 Oktober oleh Hamas yang mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian di Israel. Serangan balas yang berterusan tanpa henti menyaksikan sekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terkorban dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

Berikut adalah reaksi beberapa pemimpin dunia:

"Tuduhan genosid dilemparkan terhadap Israel bukan sahaja palsu, ia keterlaluan dan harus ditolak," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Amerika Syarikat (AS) mengulangi pendiriannya bahawa dakwaan Israel melakukan genosid di Gaza adalah "tidak berasas."

"Kami terus percaya bahawa dakwaan genosid adalah tidak berasas dan ambil perhatian bahawa mahkamah tidak membuat keputusan mengenai genosid atau menggesa gencatan senjata dalam keputusannya," kata jurucakap Jabatan Negara AS.

"Perintah ICJ adalah peringatan penting bahawa tiada negara boleh mengatasi undang-undang," kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki dalam satu kenyataan video.

"Hari ini menandakan kemenangan yang menentukan bagi kedaulatan undang-undang antarabangsa dan satu peristiwa penting dalam usaha mencari keadilan untuk rakyat Palestin," kata Kementerian Hal Ehwal Luar Afrika Selatan, yang membawa kes itu ke ICJ.

"Keputusan Mahkamah Keadilan (Antarabangsa) adalah perkembangan penting yang menyumbang kepada pengasingan Israel dan mendedahkan jenayahnya di Gaza," kata kumpulan pejuang Hamas.

Arab Saudi mengalu-alukan keputusan ICJ dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk meminta Israel bertanggungjawab ke atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Qatar menyambut baik langkah sementara yang diperintahkan oleh ICJ, menyifatkannya sebagai "kemenangan untuk kemanusiaan... dan keadilan antarabangsa."

Kuwait mengalu-alukan langkah penting dalam konflik itu, menekankan keperluan bagi Israel untuk menghormati keputusan itu serta prinsip undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan dan resolusi PBB, menurut kenyataan akhbar Kementerian Luar.

"Kami akan terus menyokong keamanan dan penamatan peperangan, pembebasan tebusan, akses kepada bantuan kemanusiaan dan penubuhan negara Palestin bersama Israel, supaya kedua-dua negara hidup bersama dalam keamanan dan keselamatan," kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Kementerian Luar Perancis menekankan kepentingan pematuhan ketat Israel terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengalu-alukan gesaan ICJ untuk pembebasan segera dan tanpa syarat tentera Israel.

"Kami berharap serangan Israel terhadap wanita, kanak-kanak dan warga tua akan berakhir," kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sambil menyebut keputusan itu "berharga."

"Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengikat pihak-pihak dan mereka mesti mematuhinya. Kesatuan Eropah mengharapkan pelaksanaan penuh, segera dan berkesan," kata blok itu.

"Keputusan penting Mahkamah Dunia memberi perhatian kepada Israel dan sekutunya bahawa tindakan segera diperlukan untuk mencegah genosid dan kekejaman berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza," kata Pengarah Keadilan Antarabangsa Bersekutu Human Rights Watch. Balkees Jarrah. - AFP

Berita Harian X