Selasa, 23 Januari 2024 | 8:05am
Asap berkepul di udara selepas tentera Israel melakukan serangan udara di kawasan perumahan di Gaza. - Foto AGENSI
Asap berkepul di udara selepas tentera Israel melakukan serangan udara di kawasan perumahan di Gaza. - Foto AGENSI

Ireland pertimbang sertai kes ICJ Afrika Selatan terhadap keganasan Israel

DUBLIN: Ireland kini sedang mempertimbangkan untuk menyertai aduan Afrika Selatan terhadap Israel dalam dakwaan genosid pembunuhan beramai-ramai di Gaza, selepas kes itu melepasi peringkat awal.

Timbalan Perdana Menteri Ireland yang juga Menteri Luar, Michael Martin, berkata pihaknya kini sedang mengkaji aduan Afrika Selatan secara serius, memandangkan prosedur kehakiman itu mengambil tempoh bertahun-tahun untuk diselesaikan.

"Pada masa sama, kita perlu memberi tumpuan untuk mencapai gencatan senjata.

"Apa yang dicari oleh Afrika Selatan sama seperti apa yang kami cari iaitu gencatan senjata segera dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza," kata Martin dalam temu bual dengan rangkaian radio RTA.

Beliau menegaskan, keadaan di Gaza adalah tragis dan tiada alasan ketika ini untuk sebarang kelewatan dalam membawa bantuan penting ke Gaza.

"Pengeboman ke atas penduduk Gaza Israel adalah mengejutkan, mengerikan dan tidak wajar," katanya.

Martin berkata, Ireland menyerahkan dokumen undang-undang mengenai pendudukan bahagian Tebing Barat kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan memperuntukkan tiga juta euro (RM15.43 juta) dalam pembiayaan tambahan kepada mahkamah itu untuk mengukuhkan siasatannya terhadap jenayah perang.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, beliau berhasrat untuk mengambil langkah di peringkat Kesatuan Eropah dengan tujuan 'memberi tekanan lebih kuat kepada Israel bagi menghentikan operasinya'. - AGENSI

Sebelum ini, Belgium berikrar menyokong sepenuhnya kes yang difailkan oleh Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kerjasama Pembangunan Belgium Caroline Gennez menerusi hantaran di akaun X beliau, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Gennez mengulangi sokongan tidak berbelah bagi Belgium terhadap kes itu di ICJ, menekankan bahawa jika mahkamah memanggil Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya terhadap Gaza, Belgium akan memberikan sokongan penuh.

Afrika Selatan memulakan tindakan undang-undang terhadap Israel awal bulan ini, menuduh rejim Zionis melakukan jenayah genosid terhadap penduduk Gaza dalam konflik selama lebih tiga bulan, mengakibatkan puluhan ribu penduduk terbunuh dan bencana kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini. - AGENSI

Berita Harian X