Isnin, 22 Januari 2024 | 8:27am
Rakyat Palestin menunaikan solat jenazah mangsa pengeboman Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto REUTERS
Rakyat Palestin menunaikan solat jenazah mangsa pengeboman Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto REUTERS

EU rangka pelan damai Israel-Palestin

BRUSSEL: Menteri Luar Israel dan Palestin dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Kesatuan Eropah (EU) hari ini.

Pertemuan itu berlaku di tengah-tengah EU sedang mempertimbang langkah perlu yang berpotensi ke arah mendamaikan konflik antara Israel dan Palestin, meskipun perang di Gaza masih berterusan.

Mengikut perancangan, Israel Katz dan Riyad al-Maliki akan mengambil bahagian secara berasingan dalam mesyuarat tetap Menteri Luar EU di sini, yang sebahagian besar fokus menumpukan hal ehwal Asia Barat, termasuk situasi perang di Ukraine.

Dijangka hadir adalah Menteri Luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Setiausaha Agung Liga Arab kerana intipati persidangan itu menumpukan isu perang Israel-Palestin yang meletus 7 Oktober lalu.

Selain itu, Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dijemput menyertai persidangan terbabit.

Menjelang pertemuan itu, perkhidmatan diplomatik EU sudah pun menghantar dokumen perbincangan kepada 27 negara anggotanya, yang mencadangkan pelan keamanan lebih luas dalam konflik Israel-Palestin.

Sebagai persediaan, persidangan itu akan diteruskan walaupun wakil Israel dan Palestin enggan mengambil bahagian.

Namun begitu, kedua-dua pihak akan dirujuk dalam setiap langkah rundingan kerana perwakilan berusaha untuk merangka pelan damai seperti terkandung dalam dokumen perbincangan.

Antara inti pati terkandung dalam dokumen terbabit adalah satu matlamat utama rancangan damai dengan penubuhan negara Palestin yang merdeka, hidup berdampingan dengan Israel dalam suasana damai dan selamat.

Walaupun pegawai EU mengakui wakil atau diplomat Israel pada masa ini tidak menunjukkan minat mengenai penyelesaian dua negara, pihaknya tetap menegaskan bahawa ia satu-satunya pilihan untuk mencorak keamanan jangka panjang.

Dalam dokumen sama turut mencadangkan wakil persidangan menyatakan akibat untuk dikenakan ke atas kedua-dua pihak, namun ia bergantung sama ada mereka menerima atau menolak rancangan yang diluluskan dalam perhimpunan itu.

EU adalah penyedia utama bantuan ekonomi kepada rakyat Palestin selain mempunyai perjanjian kerjasama luas dengan Israel, merangkumi kawasan perdagangan bebas.

Beberapa pegawai EU turut mencadangkan hubungan erat antara blok itu dengan Israel mungkin boleh mempengaruhi keputusan persidangan kali ini.

Sama ada negara anggota EU akan meluluskan idea sedemikian, ia masih menjadi tanda tanya kerana beberapa negara blok kesatuan itu seperti Jerman, Austria, Republik Czech dan Hungary tergolong sekutu setia kepada Israel. - REUTERS

Berita Harian X