Jumaat, 19 Januari 2024 | 3:31pm
Seorang anggota polis Houthi menyertai protes membantah serangan diterajui Amerika Syarikat (AS) di Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS
Seorang anggota polis Houthi menyertai protes membantah serangan diterajui Amerika Syarikat (AS) di Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS

Houthi janji laluan selamat bagi kapal Russia, China di Laut Merah

MOSCOW: Seorang pegawai kanan pemberontak Houthi menjanjikan laluan selamat untuk kapal dagang Russia dan China yang melalui Laut Merah.

Jaminan itu diberikan Mohammed al-Bukhaiti selepas kumpulan pejuang Yaman yang disokong Iran itu melakukan serangan ke atas kapal komersial dikaitkan dengan Israel sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Dalam temu bual yang diterbitkan media Russia, Izvestia, hari ini, Mohammed menegaskan perairan di sekitar Yaman, yang kini dielak sebahagian besar negara, adalah selamat selagi kapal tidak dikaitkan dengan negara tertentu, terutama Israel.

"Bagi semua negara lain, termasuk Russia dan China, laluan kapal mereka di rantau ini tidak terancam.

"Malah, kami bersedia untuk memastikan laluan selamat kapal mereka di Laut Merah, kerana navigasi bebas memainkan peranan penting untuk negara kita," katanya.

Pada masa sama, Mohammed berkata serangan terhadap kapal yang mempunyai apa saja kaitan dengan Israel akan diteruskan.

Beliau berkata, kesalahan bagi serangan itu seharusnya dipertanggungjawabkan terhadap kapal yang mengabaikan arahan Houthi untuk menukar haluan.

"Kita tidak mengejar matlamat untuk menangkap atau menenggelamkan kapal tertentu.

"Sebaliknya, matlamat kami adalah untuk menekan ekonomi negara Yahudi sehingga mereka menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza," katanya yang menggunakan nama rasmi kumpulan itu, Ansar Allah.

Mohammed turut mempertahankan tindakan kumpulannya pada November ke atas Galaxy Leader iaitu sebuah kapal dagang yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan Israel.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai langkah pencegahan supaya semua pihak dapat mengikuti keperluan mereka.

"Anak kapal itu, yang masih ditahan, berada dalam keadaan baik dan kami menyambut mereka dengan elok," katanya.

Walaupun Huthi menegaskan bahawa serangan mereka hanya menyasarkan kapal dari negara tertentu, seorang komander Tentera Laut AS mendakwa kapal terbabit sebenarnya mempunyai hubungan dengan puluhan negara lain.

Pemberontak Houthi, yang disokong Iran, sebelum ini menjelaskan tindakan terhadap kapal berkaitan AS dan Britain adalah wajar kerana kedua-dua negara melancarkan serangan udara di Yaman sebagai tindak balas kepada serangan berulang.

Houthi mendakwa, satu lagi kapal AS diserang selepas negara itu melancarkan serangan baharu menyasarkan kumpulannya sehari sebelum itu.

Pasukan itu melancarkan banyak serangan di laluan perkapalan penting di sekitar Yaman sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober lalu. - AFP

Berita Harian X