Jumaat, 19 Januari 2024 | 3:06pm
Penduduk Palestin meninggalkan daerah Zeitoun di pinggir Bandar Gaza susulan tindakan Israel memperluaskan operasi ketenteraan. - Foto AFP
Penduduk Palestin meninggalkan daerah Zeitoun di pinggir Bandar Gaza susulan tindakan Israel memperluaskan operasi ketenteraan. - Foto AFP
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada kediaman mereka di kawasan Zawayda di Semenanjung Gaza selepas dibedil tentera Israel. - Foto AFP
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada kediaman mereka di kawasan Zawayda di Semenanjung Gaza selepas dibedil tentera Israel. - Foto AFP

AS$15 bilion diperlu untuk bina semula rumah di Gaza

DAVOS: Sekurang-kurangnya AS$15 bilion (RM70.7 bilion) diperlukan untuk membangunkan semula rumah di Gaza, menggambarkan betapa besarnya kemusnahan disebabkan oleh serangan Israel.

Pengerusi syarikat Palestine Investment Fund, Mohammed Mustafa, berkata laporan antarabangsa menunjukkan 350,000 rumah rosak sepenuhnya atau sebahagiannya di Gaza.

Jelas beliau, dengan mengandaikan 150,000 daripadanya perlu dibina semula pada kos purata AS$100,000 (RM471,400) seunit, ia menelan belanja AS$15 bilion (RM70.7 bilion).

"Kami masih belum bercakap mengenai prasarana, belum lagi mengenai hospital yang rosak," katanya pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Angka yang dikeluarkan oleh pejabat media di Gaza menunjukkan lebih 360,000 rumah mengalami kerosakan teruk atau sebahagiannya, dan lebih 70,000 musnah sepenuhnya.

Mohammed berkata kepimpinan Palestin akan, dalam jangka pendek, terus memberi tumpuan pada bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan air, tetapi akhirnya tumpuan akan beralih kepada pembinaan semula.

Angka itu menunjukkan kos pembinaan semula jauh lebih kecil berbanding pembangunan semula Gaza dalam konflik sebelum ini.

Dalam perang selama tujuh minggu saja antara Israel dan Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza pada 2014, Qatar membelanjakan lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) untuk projek perumahan dan bantuan di Gaza.

Peperangan Israel-Palestin kali ini menyebabkan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, sebahagiannya terpaksa berulang kali meninggalkan kediaman mereka.

Ini mengakibatkan krisis kemanusiaan serius, dengan bekalan makanan, bahan api dan perubatan semakin berkurangan.

"Jika perang di Gaza berterusan, lebih ramai orang berkemungkinan mati akibat kelaparan," kata Mohammed.

Menurutnya lagi, langkah pertama ialah membawa semula makanan, ubat-ubatan, air dan elektrik ke kawasan yang dikepung Israel.

Mohammed juga berkata usaha pembinaan semula akan menjadi satu tugas berat dan memerlukan belanja besar, namun wang tidak akan menyelesaikan masalah Gaza, sebaliknya ia memerlukan penyelesaian politik.

Palestine Investment Fund di Ramallah adalah sebahagian daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat, diketuai Presiden Mahmoud Abbas, yang diusir dari Gaza oleh Hamas dalam perang saudara singkat pada 2007.

Israel berkata kempennya bertujuan memusnahkan Hamas dan membebaskan tebusannya yang masih ditahan di Gaza.

AS berkata ia mahu melihat Tebing Barat dan Gaza bersatu semula di bawah tadbir urus Palestin selepas perang tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak peranan PA itu.

Ditanya apakah peranan Hamas pada masa depan, Mohammed berkata: "Cara terbaik ke hadapan ialah menjadi inklusif seberapa yang boleh". - REUTERS

Berita Harian X