Khamis, 18 Januari 2024 | 3:00pm
 Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, ketika menyertai panel di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos. - Foto AFP
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, ketika menyertai panel di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos. - Foto AFP

Arab Saudi sedia iktiraf Israel jika isu Palestin selesai

DAVOS: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, berkata kerajaannya sedia mengiktiraf Israel jika persetujuan menyeluruh dicapai, yang merangkumi penubuhan negara Palestin.

"Kami bersetuju bahawa perlunya keamanan serantau termasuk Israel, tetapi itu hanya boleh berlaku melalui keamanan untuk Palestin menerusi pembentukan negara Palestin," katanya kepada panel di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.

Ditanya sama ada Arab Saudi kemudiannya akan mengiktiraf Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian politik yang lebih luas, beliau berkata: "Sudah tentu".

Menurutnya, untuk mendapatkan keamanan serantau melalui penciptaan negara Palestin adalah 'sesuatu yang telah kami usahakan dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS), dan ia lebih relevan dalam konteks Gaza'.

Mendapatkan perjanjian menjalin hubungan dengan Arab Saudi akan menjadi hadiah utama bagi Israel selepas ia menjalin hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi, dan boleh mengubah geopolitik Asia Barat.

Kerajaan Muslim Sunni itu – negara paling berkuasa di dunia Arab dan rumah kepada tapak paling suci dalam Islam – mempunyai pengaruh agama yang besar di seluruh dunia.

Selepas meletusnya perang 7 Oktober lalu antara Israel dengan Hamas yang memerintah Gaza, Arab Saudi membentangkan rancangan yang disokong AS untuk kerajaan itu memulihkan hubungan dengan Israel, kata dua sumber yang rapat dengan Riyadh.

Kedua-dua sumber itu memberitahu Reuters bahawa akan ada sedikit kelewatan dalam rundingan mengenai pemulihan hubungan Arab Saudi-Israel.

Ia dilihat sebagai langkah penting bagi kerajaan itu untuk mendapatkan apa yang dianggapnya sebagai hadiah sebenar iaitu pakatan pertahanan AS sebagai pertukaran.

Sebelum pejuang Hamas yang disokong Iran melancarkan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober, kedua-dua pemimpin Israel dan Arab Saudi telah memberi isyarat bahawa mereka sedang berusaha ke arah mewujudkan hubungan diplomatik yang boleh membentuk semula Asia Barat.

Palestin mahukan sebuah negara di wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota mereka. Rundingan yang ditaja AS dengan Israel itu terhenti lebih sedekad lalu.

Antara halangannya ialah penempatan Israel di tanah yang diduduki dan pertelingkahan antara pihak berkuasa Palestin disokong Barat dan pendirian Hamas yang menolak hidup bersama dengan Israel.

"Terdapat laluan ke arah masa depan yang lebih baik untuk rantau ini, untuk rakyat Palestin, serta Israel iaitu keamanan dan kami komited sepenuhnya untuk mencapainya.

"Gencatan senjata di semua pihak seharusnya menjadi titik permulaan untuk keamanan mampan lagi berkekalan, yang hanya boleh berlaku melalui keadilan kepada rakyat Palestin," kata Putera Faisal. - REUTERS

Berita Harian X