Khamis, 18 Januari 2024 | 2:46pm
Kemusnahan akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kemusnahan akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Negara Arab tidak minat bina Gaza jika hanya untuk 'diratakan' semula

DAVOS: Negara Arab tidak berminat untuk terbabit dalam pembinaan semula Gaza jika wilayah Palestin itu hanya akan 'diratakan' semula Israel dalam beberapa tahun.

Justeru, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menekankan kepentingan penubuhan negara Palestin sebelum membangunkan mana-mana penempatan serantau.

Bercakap kepada CNBC dalam temu bual di Davos, Switzerland, beliau berkata terdapat 'persefahaman baharu' di Asia Barat di mana jiran Arab dan penduduk Islam di Israel sedia mengintegrasikan Israel ke rantau itu tetapi mereka juga sama-sama komited kepada pembentukan negara Palestin.

Menurutnya, negara Arab dan Washington percaya bahawa sehingga isu itu ditangani, Israel mahupun rantau itu tidak akan menikmati keamanan, kestabilan mahupun keselamatan.

"Negara Arab cukup tegas bahawa mereka tidak akan terlibat sekiranya perancangan membina semula Gaza ini hanya sekadar untuk diratakan semula dalam setahun atau lima tahun dan kemudian diminta untuk membinanya semula.

"Negara seperti Arab Saudi bersedia melakukan usaha terbaik dalam hubungan mereka dengan Israel, yang mereka tidak pernah lakukan sebelum ini, sekali gus membuka masa depan yang sama sekali berbeza, masa depan lebih terjamin.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken. - Foto REUTERS
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken. - Foto REUTERS

"Dari segi keselamatan Israel sendiri, persamaan Arab dan keamanan Palestin adalah cara mencapai keselamatan kekal yang sebena, namun anda perlu menyelesaikan persoalan Palestin," tegas Blinken

Blinken, yang melakukan kunjungan ke Asia Barat seminggu lalu, membawa persetujuan asas kepada Israel bahawa jiran yang kebanyakannya Islam, akan membantu memulihkan Gaza selepas perang.

Mereka juga akan meneruskan integrasi ekonomi dengan Israel, tetapi hanya jika ia komited untuk akhirnya membenarkan penciptaan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Rundingan yang diketengahkan AS mengenai negara Palestin di wilayah yang kini diduduki Israel telah runtuh hampir sedekad lalu, dengan pemimpin sayap kanan dalam pakatan pemerintah Israel kini menentang kenegaraan Palestin.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Palestin akan mentadbir sendiri Semenanjung Gaza selepas perang dengan Israel berakhir.

"Rakyat Palestin tinggal di Gaza dan oleh itu rakyat Palestin akan mentadbirnya pada masa hadapan," kata beliau dalam satu sidang akhbar.

Menurutnya, apabila perang berakhir, tidak akan ada lagi ancaman ketenteraan dari Gaza. Hamas tidak akan dapat memerintah dan berfungsi sebagai pasukan tentera di Semenanjung Gaza. - AGENSI

Berita Harian X