Isnin, 15 Januari 2024 | 1:12am
Pesawat Boeing AWACS dan jet pejuang Mirage-2000 serta Rafale melakukan penerbangan bersama ketika perarakan ketenteraan Hari Bastille Day di Paris, Perancis. - Foto REUTERS
Pesawat Boeing AWACS dan jet pejuang Mirage-2000 serta Rafale melakukan penerbangan bersama ketika perarakan ketenteraan Hari Bastille Day di Paris, Perancis. - Foto REUTERS

Pesawat Mirage Perancis untuk perkukuh Tentera Udara Ukraine

KYIV: Ukraine akan terus menggunakan pesawat era Kesatuan Soviet bersama pesawat buatan barat dalam perang menentang Russia, kata ketua Tentera Udara Ukraine hari ini.

Jelas beliau, pesawat era Kesatuan Soviet dan jet tentera Perancis akan bersama dengan pesawat Amerika Syarikat (AS) beroperasi di ruang udara Ukraine.

Sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, Kyiv mendesak sekutu Barat untuk membekalkan senjata dan peluru yang semakin canggih, termasuk kenderaan perisai, kereta kebal, peluru berpandu jarak jauh dan pesawat pejuang F-16 buatan AS.

Jet F-16 pertama dijangka tiba di Ukraine pada 2024, walaupun kesannya terhadap perang kemungkinan terhad disebabkan kekuatan tentera udara Russia.

Komander Tentera Darat Ukraine, Mykola Oleshchuk pada Jumaat, berkata Kyiv memerlukan lebih banyak pesawat tentera untuk usaha perangnya, seperti jet serangan A-10 Thunderbolt II AS untuk menyokong infantri dan pesawat yang boleh menembak peluru berpandu jelajah jarak jauh.

Oleshchuk berkata, bukan saja A-10 Amerika, malah Dassault Mirage Perancis juga mungkin akan mula beroperasi di Ukraine.

"Justeru, bersama dengan F-16, MiG-29 juga akan beroperasi di udara dan berkemungkinan keupayaan tempur pengebom Su-24M akan dipertingkat oleh Mirage-2000D dan pesawat serangan Su-25 akan diperkukuh oleh A-10 Thunderbolt II," kata Oleshchuk melalui Telegram.

Mirage 2000 ialah jet pejuang pelbagai peranan, berenjin tunggal generasi keempat milik Perancis.

"Keutamaan hari ini sudah tentu adalah F-16, yang mana juruterbang Ukraine sudah dilatih semula. Bagaimanapun, pakar kami juga sedang mengkaji peluang lain untuk meningkatkan potensi pertempuran penerbangan secara umum," kata Oleshchuk.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, pada September berkata, beliau mencapai 'perjanjian yang sangat penting untuk melatih juruterbang kami di Perancis' dalam perbualan dengan Presiden Emmanuel Macron.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk latihan yang akan dijalankan.

Perancis tidak mempunyai jet pejuang F-16, yang baru-baru dijanjikan oleh Denmark dan Belanda kepada Ukraine. Ia mempunyai pesawat perang Rafale buatan Perancis dan jet Mirage 2000 generasi sebelumnya. - REUTERS

Berita Harian X