Rabu, 3 Januari 2024 | 7:20pm
Bandar raya Paris. - Foto AGENSI
Bandar raya Paris. - Foto AGENSI

Hotel di Paris tingkat usaha banteras pepijat menjelang Olimpik

PARIS: Hotel-hotel di Paris kini meningkatkan usaha membanteras pepijat menjelang Sukan Olimpik musim panas, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut akhbar Le Parisien, syarikat pemusnah serangga di ibu negara, menerima banyak tempahan untuk memeriksa bilik hotel menggunakan khidmat anjing dalam usaha untuk memastikan bilik hotel mereka bebas daripada parasit itu.

Pengusaha hotel yang tidak mahu publisiti negatif seperti foto pepijat di kemudahan mereka disiarkan di platform tempahan, melakukan pemeriksaan pencegahan di kemudahan masing-masing, menurut Sebastien Pizzocaro presiden kumpulan pakar pengesan pepijat menggunakan khidmat anjing.

"Kehadiran serangga itu dapat dikesan awal sebelum kedatangan jumlah besar pelancong," katanya.

Kos pemeriksaan setiap bilik ditetapkan sekitar €30 (AS$33). Jika pepijat dikesan, rawatan wap akan dilakukan bagi memusnahkan serangga itu.

Sukan Olimpik Musim Panas dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024, diikuti Sukan Paralimpik dari 28 Ogos hingga 8 September 2024.

Pada musim panas lalu isu pepijat menjadi perbincangan hangat di Perancis. Orang ramai melaporkan kehadiran pepijat di katil, kereta api, pawagam serta di pelbagai tempat lain, lengkap dengan gambar serangga berkenaan.

Baru-baru ini, pihak berkuasa mengumumkan peningkatan dalam penyebaran pepijat di Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara 2017 dan 2022, dianggarkan 11 peratus isi rumah Perancis terjejas akibat pepijat.

Pepijat menghisap darah dan hidup dalam ruang tertutup. Serangga itu bersembunyi di katil, sambungan perabot atau rekahan.

Bantuan profesional adalah satu-satunya cara untuk membanteras serangga itu memandangkan pepijat kini mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap hampir semua racun serangga yang dijual di pasaran. - BERNAMA-dpa

Berita Harian X