Rabu, 3 Januari 2024 | 5:50pm
Seorang pegawai Polis Trafik Turkiye berdiri di sebelah kenderaan polis Ferrari 488 GTB. - Foto AFP
Seorang pegawai Polis Trafik Turkiye berdiri di sebelah kenderaan polis Ferrari 488 GTB. - Foto AFP

Turkiye tahan 56 suspek Interpol

ISTANBUL: Turkiye mengesahkan pihak berkuasa negara itu telah menahan 56 suspek keutamaan tinggi yang dikehendaki oleh 18 negara atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk pengedaran dadah dan pengubahan wang haram kepada pembunuhan, pemalsuan dan serangan.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, berkata suspek telah disenaraikan dalam notis merah Interpol pada sistem mesej penyebaran yang menandakan suspek diminta untuk ditangkap dan diekstradisi oleh pelbagai negara.

Mereka yang ditahan dikehendaki di Amerika Syarikat (AS), Jerman, India, dan beberapa bekas republik Soviet serta bahagian lain di Asia dan Timur Tengah.

Pejabat Yerlikaya tidak mendedahkan nama, sebaliknya hanya menyatakan suspek telah ditangkap dalam operasi keselamatan yang diselaraskan di 11 wilayah, termasuk Istanbul.

Kementerian dalam negeri Turkiye dan perkhidmatan perisikan MIT telah mengumumkan satu siri serbuan berprofil tinggi yang pantas dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Turkiye mengumumkan penahanan lebih 200 orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan pejuang kumpulan Islamic State (IS) dalam dua siri serbuan berasingan menjelang sambutan Tahun Baharu.

Mereka mengumumkan penahanan 34 orang yang dituduh mengintip Israel pada Selasa.

Yerlikaya dilihat sebagai sekutu politik yang rapat dan bercita-cita tinggi Presiden Recep Tayyip Erdogan, mengumumkan penahanan besar sejak pelantikannya tahun lalu.

Beliau telah menolak pencalonan bertanding sebagai datuk bandar Istanbul dalam pilihan raya berkepentingan tinggi yang ditetapkan pada 31 Mac, kerana mahu mengekalkan jawatannya sebagai menteri dalam negeri.

Parti konservatif Islam Erdogan berharap untuk memenangi semula tiga bandar utama Turkiye iaitu Istanbul, Ankara dan Izmir daripada pembangkang sekular dalam pilihan raya Mac akan datang. - AFP

Berita Harian X