Ahad, 31 Disember 2023 | 12:04pm
Pelancong melihat sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) diturunkan di Pelabuhan Arguineguin, Kepulauan Gran Canaria, Sepanyol. - Foto REUTERS
Pelancong melihat sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) diturunkan di Pelabuhan Arguineguin, Kepulauan Gran Canaria, Sepanyol. - Foto REUTERS

3 PATI maut, 15 diselamatkan di perairan Pulau Canary

MADRID: Pihak berkuasa menemui tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) maut dalam sampan yang penuh dengan pendatang semalam, ketika operasi menyelamat di luar pesisir Kepulauan Canary.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Sepanyol berkata pihaknya berjaya menyelamatkan 15 mangsa dari bot berkenaan, yang ditemui lewat petang kira-kira 314 kilometer (km) di selatan Pulau El Hierro.

Ada antara mangsa yang diselamatkan itu kelaparan selain menghidap hipotermia, dan diangkut dengan helikopter ke Pulau El Hierro.

Untuk rekod, Kepulauan Canary terletak dalam wilayah Sepanyol dan berhampiran luar pantai barat laut Afrika, sekali gus menyaksikan jumlah ketibaan PATI terbesar sejak 2006 untuk memasuki Eropah.

Kebanyakan PATI sanggup mempertaruhkan nyawa mereka semata-mata untuk merentasi lintasan berbahaya itu untuk mencari kehidupan lebih baik.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa tempatan memaklumkan sebuah kapal penyelamat membawa 106 PATI tiba di selatan Itali semalam.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Jerman, Sea-Eye, kapal itu tiba di Pelabuhan Brindisi membawa 40 kanak-kanak dan sebahagian daripadanya tidak diiringi.

Kumpulan itu ditemui dan diselamatkan Selasa lalu, di perairan antarabangsa dekat barat daya pulau kecil Lampedusa di Itali.

Bot digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) terdampar di Pelabuhan Arguineguin, Kepulauan Gran Canaria, Sepanyol. - Foto REUTERS
Bot digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) terdampar di Pelabuhan Arguineguin, Kepulauan Gran Canaria, Sepanyol. - Foto REUTERS

Berdasarkan data rasmi Kementerian Dalam Negeri untuk tahun ini setakat 29 Disember lalu, Itali mencatatkan lebih 155,700 ketibaan PATI melalui jalan laut tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 103,846 ketibaan ke negara itu melalui jalan laut dalam tempoh sama pada 2022.

Itali menjadi pintu masuk utama bagi pendatang dan pencari suaka yang cuba sampai ke Eropah, untuk mendapatkan kehidupan lebih baik termasuk jaminan keselamatan. Ia turut dipanggil koridor Laut Mediterranean tengah.

Kebanyakan pendatang dan pelarian dari negara Afrika Utara terutama Libya serta Tunisia sanggup mengharungi lintas laut yang berbahaya menggunakan bot yang tidak selamat.

Walaupun cuma sejumlah kecil daripada mereka berjaya sampai ke pesisir pantai Itali, sebahagian besar bot yang dinaiki kumpulan lain dipintas.

Mereka dibantu kapal penyelamat yang kebanyakannya dikendalikan oleh NGO, pihak berkuasa Itali serta Agensi Pengawal Pantai dan Sempadan Eropah (FRONTEX).

Mengikut data Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, sekurang-kurangnya 28,505 orang hilang di Laut Mediterranean sejak 2014, lebih 22,500 daripada mereka hilang ketika melintasi Laut Mediterranean Tengah. - AGENSI

Berita Harian X