Rabu, 27 Disember 2023 | 5:51pm
Kherson telah diserang secara berkala sejak tentera Russia terpaksa berundur pada 2022 ke seberang Sungai Dnipro. - Foto AGENSI
Kherson telah diserang secara berkala sejak tentera Russia terpaksa berundur pada 2022 ke seberang Sungai Dnipro. - Foto AGENSI

Seorang anggota polis maut, empat cedera dalam serangan di stesen kereta api oleh Russia

KYIV: Seorang anggota polis maut manakala empat orang lagi cedera dalam serangan Russia ke atas stesen kereta api di bandar Kherson, Ukraine.

Menteri, Igor Klymenko, berkata Moscow melancarkan 'pengeboman besar-besaran' di bandar selatan itu, manakala tentera udara berkata, hampir 50 dron menyerang negara itu, semalam.

Tentera Russia menduduki Kherson sejurus selepas Moscow melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada akhir Februari, tahun lalu.

Mereka bagaimanapun mengundur diri selepas mendapat tekanan daripada tentera Ukraine tetapi terus mengebom bandar dari seberang sungai Dnipro.

"Pada waktu petang di Kherson, kira-kira 140 orang awam sedang menunggu di stesen untuk kereta api pemindahan.

Ketika itulah musuh memulakan pengeboman besar-besaran di bandar itu," kata Klymenko di Telegram.

Katanya, seorang anggota polis terbunuh, manakala empat orang lagi iaitu dua orang awam dan dua pegawai polis, cedera terkena serpihan.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata, ramai orang awam berada di tempat kejadian ketika itu dan menyatakan, perkhidmatan kecemasan sudah bertindak balas terhadap kejadian itu.

Kementerian Dalam Negeri juga sudah mengenal pasti pegawai polis yang terbunuh sebagai Igor Misyun, 29, dan meninggalkan isteri dan dua anaknya.

Syarikat kereta api ,Ukraine Ukrzaliznytsya di Telegram menyatakan, stesen dan kereta api rosak tetapi berada 'dalam keadaan terkawal dan kereta api sedia untuk terus berfungsi'.

Ketua pentadbiran tentera Kherson, Roman Mrochko, pula berkata bandar itu berada 'di bawah serangan dron' dan menggesa rakyat untuk berlindung.

Beliau berkata, serangan itu termasuk dron Shahed, senjata buatan Iran yang sering digunakan oleh Russia untuk menyerang Ukraine.

Tentera udara Ukraine berkata, sejumlah 46 Shahed dilancarkan merentasi wilayahnya pada waktu malam.

"Kebanyakan dron yang tidak dapat ditembak jatuh menyerang wilayah barisan hadapan, khususnya wilayah Kherson," katanya.

Tentera udara berkata pertahanannya juga menembak jatuh 32 dron manakala 'beberapa lagi UAV jatuh tanpa kesan'. - AFP

Berita Harian X