Rabu, 27 Disember 2023 | 2:54pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI

WHO syor selaraskan perjanjian global hadapi pandemik 2024

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan dunia menyelaras perjanjian menghadapi pandemik menjelang tahun depan, untuk mengelak berulangnya krisis yang merugikan selama tiga tahun akibat COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam perutusan akhir tahunannya, berkata 2020 menandakan titik perubahan dalam memerangi cabaran kesihatan utama, selain turut membawa penderitaan besar yang boleh dielakkan.

Beliau juga menggesa usaha menyalurkan bantuan ke Semenanjung Gaza dipertingkatkan, disamping memeterai perjanjian penting menangani pendemik, bagi mengisi kelompangan yang terdedah semasa penularan coronavirus sebelum ini.

Tedros mengisytiharkan penamatan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa pada Mei lalu.

"Ia menandakan titik perubahan bagi dunia selepas krisis, kesakitan dan kehilangan nyawa selama tiga tahun.

"2023 juga adalah tahun penderitaan dan ancaman besar kepada kesihatan, yang sepatutnya boleh dielakkan, namun saya gembira melihat kehidupan kembali normal," katanya.

Selepas 10 bulan, WHO juga menarik balik pengisytiharan kecemasan awam global terhadap cacar monyet atau mpox, pada Mei lalu.

Kata Tedros, WHO turut meluluskan vaksin baharu untuk malaria, denggi dan meningitis, selain Azerbaijan, Belize dan Tajikistan diisytihar bebas malaria.

Menyentuh isu perang Israel-Palestin, beliau berkata bantuan yang disalurkan tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar penduduk di Gaza.

Rentetan krisis itu, beliau bimbang dengan kemunculan semula penyakit taun dan lebih 40 wabak lain di seluruh dunia.

Selama 75 tahun WHO memperkasa kesihatan awam, Tedros berkata masih terdapat jurang dari segi kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan untuk mencegah wabak seterusnya.

"Bagaimanapun, 2024 menawarkan peluang unik untuk menangani jurang ini, dengan negara-negara sedang mengadakan rundingan perjanjian global pertama mengenai ancaman pandemik.

"Perjanjian pandemik sedang dibangunkan untuk merapatkan jurang dalam kolaborasi, kerjasama dan ekuiti global," katanya. - AFP

Berita Harian X