Selasa, 26 Disember 2023 | 9:14pm
Pihak berkuasa menemui mayat di flat wanita itu di bandar Meaux, timur Paris. - Foto EPA-EFE
Pihak berkuasa menemui mayat di flat wanita itu di bandar Meaux, timur Paris. - Foto EPA-EFE

Polis Perancis tahan lelaki disyaki bunuh wanita, 4 kanak-kanak

BOBIGNY: Polis Perancis hari ini, menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang ibu dan empat anaknya, yang ditemukan mati di rumah pada Hari Krismas, kata sumber penguatkuasa undang-undang.

Pendakwa raya tempatan, Jean-Baptiste Bladier, berkata pihak berkuasa menemukan mayat wanita itu dan anak-anaknya, berusia sembilan bulan, empat, tujuh dan 10 tahun di rumah flat mereka di bandar Meaux di timur Paris pada petang Isnin, selepas saudara mara yang bimbang membunyikan penggera.

Sumber polis berkata, suspek utama ditahan di bandar berhampiran Sevran.

"Flat itu tidak menunjukkan tanda dipecah masuk dan si bapa tiada di rumah," katanya sebelum itu.Sumber yang rapat dengan kes itu berkata, ibu berusia 35 tahun itu dan anak-anaknya dibunuh dengan senjata tajam, dan polis mencari seorang lelaki berusia 33 tahun.

Perkhidmatan polis kehakiman Versailles membuka siasatan mengenai "pembunuhan terancang".

Wilayah Paris, baru-baru ini menyaksikan beberapa siri pembunuhan bayi.z

Pada akhir November, seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku membunuh tiga anak perempuannya, berusia empat hingga 11 tahun, dan menyerahkan diri.

Polis menemukan mangsa mati di rumah lelaki itu di bandar Alfortville, di pinggir tenggara ibu negara.

Sebulan sebelum itu, pada Oktober, seorang anggota polis membunuh tiga anak perempuannya sebelum membunuh diri di rumahnya di Vemars, timur laut ibu negara.

Secara purata, seorang wanita dibunuh setiap tiga hari di Perancis.

Kira-kira 118 wanita dibunuh pasangan atau bekas pasangan mereka di Perancis pada tahun lalu. - AFP

Berita Harian X