Jumaat, 22 Disember 2023 | 4:14pm
(Gambar fail) Kapal angkasa SpaceX Dragon CRS-29 (Kredit: NASA TV)
(Gambar fail) Kapal angkasa SpaceX Dragon CRS-29 (Kredit: NASA TV)

SpaceX Dragon pulang ke bumi selepas beberapa kali tertunda

MOSCOW: Kapal angkasa SpaceX Dragon meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas beberapa kali tertunda, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), semalam.

Kelewatan itu disebabkan keadaan cuaca tidak baik, dan kapal angkasa berkenaan dijangka melakukan pendaratan di luar pantai Florida pada pagi Jumaat, lapor Sputnik.

"Pemisahan disahkan! @SpaceX CRS-29 Dragon kini dalam perjalanan ke bumi dan dijadualkan mendarat di luar pantai Florida," kata NASA dalam X.

Menurutnya, kapal angkasa itu membawa kira-kira 4,400 paun (hampir 2,000 kilogram) 'kargo saintifik berharga' kembali ke bumi, termasuk data menilai cara sel-sel bertindak balas terhadap graviti dan penyesuaian genetik tumbuhan di angkasa.

Dalam pada itu, NASA memaklumkan, kapal angkasa Cygnus tanpa kru milik Northrop Grumman juga dijangka meninggalkan ISS pada Jumaat jam 7.45 pagi EST (10.05 GMT).

Tidak seperti kapal angkasa Dragon, Cygnus akan terbakar dengan selamat dalam atmosfera bumi.

Misi pembekalan semula ke-29 SpaceX ke ISS, tiba di stesen itu pada 11 November lalu dengan membawa 6,500 paun (hampir 3,000 kilogram) kargo, termasuk penyelidikan sains baharu untuk mengkaji gelombang graviti atmosfera.

Ia juga menguji komunikasi laser kadar data tinggi dari stesen angkasa ke bumi, selain membawa bekalan kepada angkasawan. – BERNAMA-SPUTNIK

Berita Harian X