Jumaat, 15 Disember 2023 | 7:41am
Sidang media Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, pada sidang kemuncak di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS
Sidang media Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, pada sidang kemuncak di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS

Pemimpin EU lulus lebih banyak sekatan terhadap Russia

BRUSSELS: Negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju melaksanakan sekatan ke-12 terhadap Russia, sekali gus menyaksikan larangan berperingkat ke atas import berlian Russia berkuat kuasa mulai 1 Januari depan, menurut Majlis Eropah.

Terdahulu, EU menambah sekatan sektoral dan individu sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022 dalam usaha menghalang Moscow meraih pendapatan untuk membeli kelengkapan ketenteraan bagi menyerang Ukraine.

"Majlis Eropah mengalu-alukan penerimaan pakej sekatan ke-12 ini, yang lebih tertumpu kepada sekatan sumber ekonomi Russia," menurut majlis itu.

Walaupun teks pakej itu dipersetujui oleh semua negara awal minggu ini, sumber diplomatik berkata, Austria masih tidak memberikan persetujuan hingga semalam.

Austria berkata, walaupun ia tidak menentang, ibu negara itu memerlukan masa untuk meneliti teks undang-undang.

Bagaimanapun, sumber yang mengetahui perkara itu berkata, Austria pernah cuba meminta bank Barat terbesar di Russia, Raiffeisen Bank International, dikeluarkan daripada senarai hitam Ukraine sebagai balasan untuk menandatangani sekatan baharu EU ke atas Russia.

Raiffeisen masih muncul dalam senarai hitam Ukraine.

Pakej sekatan baharu itu termasuk larangan langsung import berlian bukan industri Russia mulai 1 Januari dan larangan berperingkat import berlian dari negara ketiga bermula dari Mac sejajar dengan keputusan negara Kumpulan Tujuh (G7).

Lain-lain langkah termasuk mengetatkan bukti yang diperlukan daripada syarikat yang mendakwa mereka mematuhi had harga minyak G7-Russia.

Pakej itu juga menambah langkah untuk menghalang Russia daripada mendapatkan barangan dwiguna dengan menggunakan rakan niaga syarikat EU menandatangani kontrak yang melarang eksport semula ke Russia.

Malah, prosedur pemberitahuan untuk warga atau entiti Russia di Russia yang ingin memindahkan lebih daripada AS$109,920 (RM513,601) daripada EU turut disertakan. - REUTERS

Berita Harian X