Sabtu, 9 Disember 2023 | 9:24am
Keadaan di Hospital Yafa di tengah Gaza yang rosak akibat serangan Israel. - Foto REUTERS
Keadaan di Hospital Yafa di tengah Gaza yang rosak akibat serangan Israel. - Foto REUTERS

Anggota WHO gesa Israel lindungi pekerja kemanusiaan di Gaza

GENEVA: Beberapa negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengemukakan draf resolusi menggesa Israel menghormati kewajipan agensi itu di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi pekerja kemanusiaan di Gaza.

Teks draf resolusi itu akan diteliti esok ketika sesi khas Lembaga Eksekutif WHO yang bersidang untuk membincangkan keadaan kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki.

Ia dicadangkan Algeria, Bolivia, China, Mesir, Indonesia, Iraq, Jordan, Lubnan, Malaysia, Maghribi, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Tunisia, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.

Wakil Palestin yang mempunyai status pemerhati WHO juga menandatangani cadangan itu.

Negara anggota menyatakan kebimbangan besar mereka mengenai situasi kemanusiaan yang melanda wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, terutamanya operasi ketenteraan di Gaza.

Mereka menggesa Israel menghormati dan melindungi pekerja perubatan dan kemanusiaan yang terbabit secara eksklusif dalam menjalankan tugas perubatan, serta hospital dan kemudahan perubatan lain.

Sementara itu, jurucakap WHO, Christian Lindmeier memberitahu wartawan semalam bahawa sistem kesihatan Gaza kritikal.

"Keadaan semakin mengerikan dari hari ke hari... secara literalnya di luar kepercayaan," katanya.

Sebelum ini agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata hanya 14 daripada 36 hospital di Gaza berfungsi dalam apa jua kapasiti. - AFP

Berita Harian X