Ahad, 26 November 2023 | 2:13pm
Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Buenos Aires, Argentina. - Foto AFP
Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Buenos Aires, Argentina. - Foto AFP

Puluhan ribu berarak di seluruh dunia, kecam keganasan terhadap wanita

PARIS: Puluhan ribu orang turun ke jalan di seluruh dunia semalam, bagi mengutuk keganasan terhadap wanita sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dalam satu kenyataan berkata, bencana keganasan berasaskan jantina terus mendatangkan kesakitan dan ketidakadilan kepada terlalu ramai orang.

"Dianggarkan satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal, diperkosa atau diintip pada satu ketika dalam hayat mereka.

"Terutama di kawasan konflik, banyak wanita dan kanak-kanak perempuan menderita di tangan pelaku yang melakukan keganasan berasaskan jantina dan menggunakan rogol sebagai senjata perang.

Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Buenos Aires, Argentina. - Foto AFP
Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Buenos Aires, Argentina. - Foto AFP

"Kami tahu apa yang menjadi pertaruhan, pada bila-bila masa dan di mana saja wanita dan kanak-kanak perempuan terancam, begitu juga keamanan dan kestabilan," katanya.

Di Guatemala, penunjuk perasaan memulakan peringatan dengan menyalakan 438 lilin iaitu jumlah wanita yang terbunuh pada tahun ini setakat sekarang.

Di Chile, penunjuk perasaan berarak di Santiago, membawa potret mangsa keganasan.

Di Itali, lebih 50,000 orang turun berdemonstrasi di Rom, di mana berlaku pembunuhan menggemparkan seorang pelajar universiti berusia 22 tahun oleh bekas teman lelakinya.

Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Bogota, Colombia. - Foto AFP
Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Bogota, Colombia. - Foto AFP

Negara itu dikejutkan dengan kes Giulia Cecchettin, yang bakal menerima ijazah dalam kejuruteraan bioperubatan dari Universiti Padua, namun hilang selama seminggu.

Mayat beliau akhirnya ditemui kira-kira 120 kilometer (km) di utara Venice dan bekas teman lelakinya, Filippo Turetta, 22 tahun, ditangkap di Jerman.

Sehingga 12 November lalu, terdapat 102 kes pembunuhan mangsa wanita di Itali, di mana seramai 82 dibunuh oleh ahli keluarga atau pasangan atau bekas pasangan, menurut Kementerian Dalam Negeri

Di Turkiye, kira-kira 500 wanita berkumpul di daerah Sisli di Istanbul dan membentangkan sepanduk bertulis 'Kami tidak akan berdiam diri' dan 'Wanita bersatu dan berjuang menentang keganasan di daerah didominasi lelaki'.

Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Mexico City. - Foto AFP
Wanita yang menyertai perarakan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Mexico City. - Foto AFP

Penunjuk perasaan turut turun ke jalanan di Ankara.

Di Perancis, ribuan orang berpakaian ungu, warna wanita dan kesaksamaan jantina, sambil menelusuri jalan di Paris dan bandar lain, membawa papan tanda bertulis 'Satu rogol setiap enam minit di Perancis' dan 'Lindungi gadis anda, didik anak lelaki kamu'.

Pegawai dari kumpulan aktivis All of Us, Maelle Lenoir, menggesa kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk membasmi keganasan terhadap wanita.

Perancis merekodkan 121 wanita terbunuh pada tahun ini setakat sekarang berbanding 118 pada 2022, menurut data kerajaan. - AFP

Berita Harian X