Sabtu, 25 November 2023 | 11:51am
Kanak-kanak bersama ibu bapa mereka menunggu di ruang pesakit luar di sebuah hospital kanak-kanak di Beijing, China susulan perebakan penyakit berkaitan pernafasan sejak pertengahan Oktober lalu. - Foto AFP
Kanak-kanak bersama ibu bapa mereka menunggu di ruang pesakit luar di sebuah hospital kanak-kanak di Beijing, China susulan perebakan penyakit berkaitan pernafasan sejak pertengahan Oktober lalu. - Foto AFP

Jangan cetuskan 'panik pandemik' susulan wabak pneumonia di China

PARIS: Pakar menasihatkan orang ramai jangan cetuskan 'panik pandemik' susulan peningkatan kes penyakit pernafasan di utara China, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perkembangan itu secara langsung mencetuskan spekulasi dalam talian mengenai ancaman pandemik baharu, empat tahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di negara itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan, peningkatan jangkitan itu adalah gabungan virus yang sudah diketahui dan dikaitkan dengan musim sejuk penuh pertama negara itu sejak sekatan ketat COVID-19 ditarik balik pada Disember lalu.

Setakat ini, keadaan sebenar masih belum jelas tetapi pakar merumuskan kes itu disebabkan oleh virus baharu.

Pada 13 November lalu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaporkan peningkatan penyakit pernafasan, yang kebanyakan pesakitnya ialah kanak-kanak.

Pihak berkuasa China juga mengaitkan peningkatan kes itu dengan berakhirnya sekatan COVID-19, ketibaan musim sejuk, dan peredaran patogen yang diketahui termasuk influenza, mycoplasma pneumonia, respiratory syncytial virus (RSV) dan SARS-CoV-2 - virus yang menyebabkan COVID-19.

Isnin lalu, sistem pengawasan penyakit awam ProMED, yang pernah mengeluarkan amaran awal mengenai kes radang paru-paru misteri iaitu COVID-19, melaporkan bahawa beberapa hospital China 'dipenuhi kanak-kanak yang sakit' akibat wabak radang paru-paru.

Wabak itu khususnya dikesan di ibu kota Beijing, wilayah timur laut Liaoning dan kawasan lain di China.

Gejala itu termasuklah demam, radang paru-paru tanpa batuk dan nodul pulmonari - ketulan pada paru-paru yang biasanya disebabkan oleh jangkitan, namun tiada kematian dilaporkan.

Laporan itu juga mencetuskan ingatan terhadap wabak itu, dengan pengguna media sosial mula gentar dengan 'virus baharu datang dari China' atau 'COVID baharu'.

Beberapa pakar mencadangkan ketibaan musim sejuk, berakhirnya sekatan COVID-19 dan kekurangan imuniti awal pada kanak-kanak juga mungkin mendorong jangkitan itu meningkat.

Terkini, saintis terkemuka antarabangsa menasihatkan orang ramai supaya jangan segera menekan 'butang panik pandemik' susulan laporan radang paru-paru di China.

Ia didorong kebimbangan akan ada satu lagi pandemik, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta lebih banyak maklumat daripada China berhubung jangkitan terbaharu itu.

Bagaimanapun, ahli virologi Belanda yang menasihati WHO mengenai COVID-19, Marion Koopmans, tetap menasihatkan semua pihak supaya terus berhati-hati.

"Kami benar-benar memerlukan lebih banyak maklumat, terutamanya maklumat diagnostik, sebelum dapat membuat keputusan muktamad," katanya.

Pakar Kolej Universiti London, Francois Balloux, turut bersetuju dengan Koopmans, dan menasihatkan orang ramai supaya jangan paknik.

"Memandangkan China mengalami sekatan yang jauh lebih lama lagi tegas berbanding mana-mana negara lain di dunia ini, tidak salah bagi meramalkan gelombang itu akan menjadi besar di China.

"Namun, melainkan terdapat bukti baharu yang mencadangkan sebaliknya, tidak ada sebab untuk mengesyaki kemunculan patogen baru," katanya.

Pakar dari Universiti of East Anglia, United Kingdom (UK), Paul Hunter, berkata pada masa ini terdapat terlalu sedikit maklumat untuk membuat diagnosis yang nyata.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya, ini tidak menunjukkan gejala seperti wabak kerana ia virus baru.

"Jika ya, saya menjangkakan untuk melihat lebih banyak jangkitan membabitkan orang dewasa. Beberapa jangkitan yang dilaporkan pada orang dewasa menunjukkan kehadiran imuniti sedia ada daripada pendedahan terdahulu," katanya.

Ketika ini, WHO mengesyorkan supaya orang di kawasan yang terjejas mematuhi peraturan biasa untuk mengelakkan penyakit pernafasan.

Ini termasuklah mendapatkan vaksin, pengasingan diri jika gejala muncul dan mendapatkan ujian atau memakai topeng jika perlu.

Berdasarkan maklumat semasa, WHO menasihatkan tidak perlu bagi mengenakan sebarang sekatan perjalanan yang membabitkan China. - AFP

Berita Harian X