Jumaat, 24 November 2023 | 9:06am
Kenderaan polis dibakar ketika rusuhan susulan serangan pisau yang menyebabkan beberapa individu cedera termasuk kanak-kanak di Dublin, Ireland. - Foto REUTERS
Kenderaan polis dibakar ketika rusuhan susulan serangan pisau yang menyebabkan beberapa individu cedera termasuk kanak-kanak di Dublin, Ireland. - Foto REUTERS

Rusuhan meletus di Dublin susulan kanak-kanak ditikam

DUBLIN: Lima cedera termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan pisau di Dataran Parnell Dublin semalam, sekali gus mencetuskan rusuhan di pusat bandar dengan motif serangan belum dikenal pasti termasuk berkaitan dengan keganasan.

Berikutan itu, pengangkutan awam digantung dan pesakit dinasihatkan tidak ke hospital bersalin berdekatan kecuali benar-benar perlu selepas pertempuran antara polis rusuhan dan penunjuk perasaan antipendatang, yang tiba di tempat kejadian di sebelah jalan utama O'Connell Street.

Sebuah bas dua tingkat dibakar di hadapan patung Daniel O'Connell, kereta polis turut dibakar, tingkap dipecahkan di hotel Holiday Inn dan restoran McDonalds berhampiran serta sebuah kedai Footlocker juga dirompak.

Menurut Pesuruhjaya Polis, Drew Harris, kejadian ini adalah adegan yang memalukan yang didorong oleh ideologi sayap kanan yang terbabit dalam keganasan serius.

Harris berkata, semua siasatan berkaitan serangan itu kekal terbuka, bercanggah dengan pegawai kanan yang sebelum ini memberitahu pemberita bahawa polis berpuas hati insiden itu tidak berkaitan keganasan.

"Saya tidak akan membuat spekulasi lebih lanjut berhubung motif pengganas sehingga kita pasti apa motifnya dan kita perlu berfikiran terbuka mengapa perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengerahkan 400 pegawai untuk memulihkan ketenteraman awam.

Dilaporkan, rusuhan seperti itu hampir tidak pernah berlaku sebelum ini di Dublin.

Tidak ada parti atau ahli politik paling kanan yang dipilih ke Parlimen, tetapi protes antipendatang kecil semakin berkembang pada tahun lalu.

Susulan itu, kerajaan sedang mengkaji keselamatan di sekitar Parlimen selepas protes baru-baru ini menyebabkan ahli Parlimen terperangkap di dalam.

Angka penghijrahan dalam kalangan 5.3 juta penduduk Ireland meningkat ke tahap kedua tertinggi sejak rekod bermula 12 bulan lalu hingga April dan dilaporkan kira-kira 100,000 pelarian Ukraine tiba sejak pencerobohan Russia, antara yang tertinggi per kapita di Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Kehakiman, Helen McEntee, berkata terdapat sekumpulan orang, samseng, penjenayah yang menggunakan serangan mengerikan ini untuk menimbulkan perpecahan.

"Setiap kuasa boleh digunakan oleh polis untuk memulihkan keadaan. Situasi ini tidak boleh ditoleransi. - REUTERS

Berita Harian X