FRANKFURT: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg memberi amaran bahawa tiada pengakhiran segera kepada perang Ukraine dalam satu wawancara yang diterbitkan hari ini, ketika Kyiv meneruskan serangan balasnya terhadap Russia.
"Kebanyakan peperangan berlangsung lebih lama daripada jangkaan apabila ia mula-mula bermula," kata Stoltenberg dalam temu bual dengan kumpulan media Funke Jerman.
"Oleh itu, kita perlu mempersiapkan diri untuk perang yang panjang di Ukraine," katanya.
Konflik bermula pada Februari 2022 apabila Moscow menghantar tenteranya ke Ukraine, membawa perang kembali ke Eropah buat kali pertama dalam beberapa dekad.
Kyiv melancarkan serangan balasnya pada bulan Jun.
"Kami semua mengharapkan keamanan segera. Tetapi pada masa sama, kita mesti akui jika Presiden (Volodymyr) Zelensky dan Ukraine berhenti berperang, negara mereka tidak akan wujud lagi.
"Jika Presiden (Vladimir) Putin dan Russia meletakkan senjata mereka, kita akan mendapat keamanan," kata Stoltenberg.
Mengenai cita-cita Ukraine untuk menyertai perikatan itu, Stoltenberg berkata, tiada keraguan bahawa Ukraine akhirnya akan berada dalam NATO.
"Kyiv sudah 'bergerak' lebih dekat dengan NATO pada sidang kemuncak perikatan itu pada Julai lalu.
"Apabila perang ini berakhir, kita memerlukan jaminan keselamatan untuk Ukraine. Jika tidak, sejarah boleh berulang," katanya.
Pada sidang kemuncak Julai lalu di Vilnius, pemimpin NATO bersetuju Ukraine boleh menyertai perikatan itu sebaik saja syarat tertentu dipenuhi dan pegawai Amerika Syarikat dan Jerman menjelaskan ia termasuk Kyiv yang melaksanakan pembaharuan untuk melindungi demokrasi dan kedaulatan undang-undang. - AFP