VIENNA: Kritikan kebergantungan Austria terhadap gas Russia oleh pegawai tinggi EU menyebabkan ketegangan diplomatik antara Vienna dan Brussels, lapor Agensi Berita dpa.
Wakil Suruhanjaya Eropah di ibu negara Austria, Martin Selmayr telah dipanggil ke Kementerian Luar di Vienna untuk perbincangan, umum jurucakap kementerian Austria semalam.
Diplomat EU Jerman, yang pernah menjadi setiausaha agung suruhanjaya itu, telah menyifatkan pembayaran gas Austria kepada Russia sebagai "wang darah", memandangkan perang Moscow di Ukraine.
Pada awal pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari tahun lalu, Austria mendapatkan 79 peratus import gasnya dari Russia.
Bahagian itu merosot kepada 17 peratus menjelang Oktober tahun lalu tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, angka itu telah meningkat dengan ketara. Pada Julai, ia adalah 66 peratus, menurut kementerian iklim.
Selmayr telah melancarkan kritikannya pada satu acara di Vienna pada Rabu dan menuduh Austria membiayai perang Russia. Sebagai sebuah negara yang kaya, Austria boleh melakukannya tanpa gas Russia sama seperti negara lain, tambahnya.
Tetapi Menteri Hal Ehwal Eropah Austria Karoline Edtstadler dari Parti Rakyat Austria (OVP) yang konservatif menyifatkan kritikan itu "sepenuhnya berat sebelah" dan menunjuk kepada usaha berterusan Austria untuk mengurangkan kebergantungannya kepada gas Russia.
Kerajaan merancang untuk menghentikan penggunaan gas Rusia secara berperingkat menjelang 2027. Menteri Iklim Leonore Gewessler, dari parti Greens, berkata bahawa pindaan dalam undang-undang sedang disediakan untuk membantu Austria menghentikan import Russia.
Tetapi pembekal gas juga mempunyai peranan penting dalam beralih kepada import bukan Russia, katanya. –BERNAMA-dpa