Selasa, 5 September 2023 | 7:46am
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan berjabat tangan dengan rakan sejawat dari Russia, Vladimir Putin pada sidang media di Sochi, Russia. - Foto REUTERS
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan berjabat tangan dengan rakan sejawat dari Russia, Vladimir Putin pada sidang media di Sochi, Russia. - Foto REUTERS

Perjanjian bijirin Laut Hitam mampu dipulihkan tidak lama lagi - Erdogan

MOSCOW: Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan optimis perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin semalam memungkinkan perjanjian bijirin dipulihkan tidak lama lagi.

Ia sekali gus memenuhi matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan krisis makanan dengan memastikan bijirin Ukraine memasuki pasaran.

Russia menghentikan komitmen dalam perjanjian itu pada Julai lalu, setahun selepas ia diuruskan oleh PBB dan Turkiye. Ini kerana Russia mendakwa eksport makanan dan bajanya menghadapi halangan serius.

Sebelum ini Erdogan memainkan peranan penting bersama PBB dalam meyakinkan Putin untuk kembali kepada perjanjian itu.

"Bagi pihak Turkiye, kami yakin akan mencapai penyelesaian yang memenuhi jangkaan dalam masa singkat," kata Erdogan ketika ditemui di sebuah resort di Sochi, Laut Hitam selepas pertemuan bersemuka pertamanya dengan Putin sejak 2022.

Erdogan berkata jangkaan Russia diketahui semua orang dan kelemahan itu harus dihapuskan, sambil menambah Turkiye dan PBB mengusahakan pakej cadangan baharu untuk meredakan kebimbangan Russia.

Erdogan berkata Ukraine perlu melembutkan pendekatan dalam rundingan terhadap Russia bagi menghidupkan semula perjanjian itu dan mengeksport lebih banyak bijirin ke Afrika berbanding Eropah.

"Ukraine perlu terutamanya melembutkan pendekatan supaya ia membolehkan langkah bersama diambil dengan Russia," katanya kepada pemberita.

Dalam reaksinya, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berkata Kyiv tidak akan mengubah pendiriannya, tetapi akan mengambil perhatian mengenai laporan Turkiye dalam isu rundingan Sochi.

"Kita tidak seharusnya terus menjadi tebusan kepada pemerasan Russia, yang mana Russia mencipta masalah dan kemudian menjemput semua orang untuk menyelesaikannya," kata Kuleba.

"Adalah jelas bahawa kami akan mempertahankan semua kedudukan berprinsip, terutamanya mengenai tekanan sekatan ke atas Persekutuan Russia."

Berdiri di sebelah Erdogan, Putin menegaskan semula pendirian Russia bahawa ia boleh kembali kepada perjanjian itu tetapi hanya jika Barat berhenti menyekat eksport pertanian Russia daripada mencapai pasaran global.

Memorandum berasingan yang dipersetujui dengan PBB menggesa syarat untuk memudahkan eksport makanan dan baja Russia.

"Kami akan bersedia untuk mempertimbangkan kemungkinan memulihkan perjanjian bijirin dan saya memberitahu Tuan Presiden mengenai perkara ini sekali lagi hari ini - kami akan melakukan ini sebaik sahaja semua perjanjian untuk menarik balik sekatan ke atas eksport produk pertanian Russia dilaksanakan sepenuhnya," Putin berkata.

Beliau berkata dakwaan Barat bahawa Russia telah mencetuskan krisis makanan dengan menggantung penyertaan dalam perjanjian bijirin adalah tidak benar kerana harga tidak naik apabila ia keluar daripada perjanjian itu.

"Tidak ada kekurangan makanan secara fizikal," kata Putin.

Walaupun eksport makanan dan baja Russia tidak tertakluk kepada sekatan Barat yang dikenakan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan Russia mengeksport jumlah rekod gandum tahun lalu, Moscow dan pengeksport pertanian berkata sekatan ke atas pembayaran, logistik dan insurans telah menghalang penghantaran.

"Barat terus menyekat bekalan bijirin dan baja dari Persekutuan Russia ke pasaran dunia," kata Putin, sambil menambah bahawa Barat telah "menipu" Russia atas perjanjian itu kerana negara kaya mendapat lebih 70 peratus bijirin yang dieksport di bawah perjanjian.

Russia dan Ukraine ialah dua daripada pengeluar pertanian utama dunia, dan pemain utama dalam pasaran gandum, barli, jagung, minyak biji lobak, biji bunga matahari dan minyak bunga matahari.

Putin berkata Russia menjangkakan penuaian bijirin sebanyak 130 juta tan tahun ini yang mana 60 juta tan daripadanya boleh dieksport.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata pada Khamis bahawa beliau telah menghantar kepada Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov "satu set cadangan konkrit" yang bertujuan untuk memulihkan perjanjian itu.

Antara tuntutan utama Moscow ialah supaya Bank Pertanian Russia disambungkan semula ke sistem pembayaran antarabangsa SWIFT.

EU memotongnya pada Jun 2022 sebagai sebahagian daripada sekatan menyeluruh yang dikenakan sebagai tindak balas kepada pencerobohan itu.

Putin berkata bahawa rancangan untuk membekalkan sehingga 1 juta tan bijirin Russia ke Turkiye pada harga yang lebih rendah untuk pemprosesan berikutnya di loji Turkiye dan penghantaran ke negara yang paling memerlukan bukanlah alternatif kepada perjanjian bijirin.

Beliau juga berkata Russia hampir mencapai perjanjian dengan enam negara Afrika berhubung rancangan membekalkan Burkina Faso, Zimbabwe, Mali, Somalia, Republik Afrika Tengah dan Eritrea masing-masing sehingga 50,000 tan bijirin secara percuma. - REUTERS

Berita Harian X