GENEVA: Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) hari ini mendedahkan bahawa paras air laut di Pasifik Barat Daya sedang meningkat lebih pantas daripada purata global sehingga mengancam rantau di kawasan rendah, manakala gelombang haba pula merosakkan ekosistem marin.
Menurut agensi meteorologi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam laporannya yang bertajuk Keadaan Iklim di Pasifik Barat Daya 2022, paras air laut terbabit naik kira-kira empat milimeter (mm) setahun di sesetengah kawasan, sedikit mengatasi kadar purata global.
Ia bermakna wilayah di kawasan rendah seperti Tuvalu dan Kepulauan Solomon kini berisiko ditenggelami banjir dari semasa ke semasa, sekali gus memusnahkan tanah pertanian serta penempatan yang penduduknya tidak dapat berpindah ke tempat lebih tinggi.
Menurut laporan itu lagi, gelombang haba marin yang melanda kawasan luas di timur laut Australia dan selatan Papua New Guinea selama lebih enam bulan, turut menjejaskan hidupan marin serta mata pencarian masyarakat tempatan.
Katanya, rantau terbabit merekodkan 35 bencana alam pada tahun lalu, termasuk banjir dan ribut, yang mengakibatkan lebih 700 nyawa terkorban dan lebih lapan juta penduduk terjejas secara langsung.
Laporan itu menjelaskan walaupun jumlah kejadian bencana akibat cuaca yang dilaporkan di rantau terbabit menurun tahun lalu berbanding 2021, skala kerugian ekonomi disebabkan banjir dan bencana alam lain direkodkan meningkat.
Kemusnahan akibat banjir, termasuk di Australia dan Filipina, dicatatkan berjumlah AS$8.5 bilion, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas dalam satu kenyataan pula berkata El Niño, pemanasan suhu permukaan air di timur dan tengah Lautan Pasifik yang kembali melanda tahun ini, dikhuatiri memberi kesan ketara terhadap rantau berkenaan.
"Ia akan memberi impak besar pada rantau Pasifik Barat Daya kerana sering dikaitkan dengan suhu lebih tinggi, pola cuaca yang menjejaskan, dan lebih banyak gelombang haba marin serta pencemaran batu karang," katanya. - REUTERS