MANAMA: Bahrain dijangka berdepan ancaman alam sekitar iaitu kenaikan paras air laut yang dikhuatiri akan membanjiri sebahagian besar negara berkenaan.
Menteri Minyak dan Alam Sekitar Bahrain merangkap Wakil Khas Hal Ehwal Iklim, Mohamed Mubarak Daina, berkata negara teluk berkenaan sudah lama bergelut dengan cuaca panas melampau dan kini bahaya lain pula.
"Bahrain terdedah. Ancaman utama ialah ancaman senyap iaitu kenaikan paras laut.
"Menjelang 2050, paras laut boleh meningkat sekurang-kurangnya 0.5 meter," menurut menteri itu, memetik Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim.
Bagaimanapun, sesetengah pakar melihat anggaran itu sebagai konservatif dan tidak menolak kemungkinan kesannya lebih buruk.
Menjelang tahun depan, negara teluk itu akan mula membina pertahanan pantainya bagi menghadapi paras laut yang semakin meningkat, dengan melebarkan pantai, membina tembok laut yang lebih tinggi dan menambak tanah.
Menurut anggaran rasmi, kenaikan melampau setinggi lima meter akan membanjiri sebahagian besar negara, termasuk lapangan terbang antarabangsanya.
Menurut penolong profesor di Universiti Teluk Arab, Sabah Aljenaid, kenaikan 0.5 hingga dua meter juga boleh menenggelamkan lima hingga 18 peratus daripada keseluruhan kawasan Bahrain.
Kebanyakan penduduk Bahrain dan kemudahan utamanya terletak di kawasan pantai rendah kurang daripada lima meter di atas air.
Pulau-pulau lain di seluruh dunia juga terancam oleh kenaikan laut apabila pemanasan global mencairkan kepingan ais dan glasier.
Hakikatnya, Bahrain adalah pengeluar minyak utama, yang bahan pencemar akibat industri berkenaan mencetuskan krisis iklim.
Inisiatif Penyesuaian Global Universiti Notre Dame menyifatkannya sebagai antara negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim dalam kalangan negara Arab di Teluk, dan Bahrain selaku antara kawasan paling panas di Bumi, turut berdepan ancaman pemanasan global .
Suhu yang melampau akibat perubahan iklim boleh menyebabkan bahagian Teluk tidak dapat didiami menjelang akhir abad ini, menurut pakar.
Bulan ini, sudah dua kali ia memecahkan rekod penggunaan tenaga apabila suhu mencecah 44 darjah Celsius, menyebabkan pendingin hawa lebih banyak digunakan. - AFP