Sabtu, 12 Ogos 2023 | 10:34pm
(Gambar fail) Jambatan yang menghubungkan Semenanjung Crimea dengan tanah besar Russia, di Selat Kerch. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Jambatan yang menghubungkan Semenanjung Crimea dengan tanah besar Russia, di Selat Kerch. - FOTO REUTERS

Russia tembak jatuh 3 peluru berpandu Ukraine

MOSCOW: Pasukan pertahanan udara Russia dilaporkan menembak jatuh tiga peluru berpandu Ukraine dalam ruang udara di atas jambatan yang menghubungkan Crimea dengan tanah besar negara ini.

"Pasukan pertahanan udara telah menembak jatuh dua peluru berpandu musuh dalam ruang udara Selat Kerch.

"Jambatan Crimea tidak mengalami kerosakan," kata Gabenor Semenanjung Crimea yang dilantik Russia, Sergei Aksyonov, dalam kenyataan melalui media sosial, hari ini.

Dalam satu kenyataan berasingan kemudian, beliau berkata, pasukan pertahanan udara Russia menembak jatuh satu lagi peluru berpandu Ukraine yang menyasarkan jambatan sama.

Aksyonov sekali gus menggesa penduduk tempatan supaya kekal bertenang.

Gambar dikongsikan dalam media sosial menunjukkan kepulan asap di sekitar jambatan terbabit.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia pula mendakwa bahawa Kyiv cuba menyerang jambatan Crimea dengan menggunakan sebuah peluru berpandu antipesawat S-200.

Kementerian itu kemudian melaporkan Kyiv melakukan satu lagi cubaan menyerang jambatan berkenaan dengan sebuah peluru berpandu S-200.

Bagaimanapun, menurutnya, peluru berpandu terbabit berjaya dikesan serta dipintas sistem pertahanan udara Russia, dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.

Terdahulu pada hari ini, Russia mendakwa, pasukan tenteranya menembak jatuh 20 dron tanpa pemandu Ukraine berhampiran Semenanjung Crimea di mana Kyiv meningkatkan serangannya. - AFP

Berita Harian X