Sabtu, 22 Julai 2023 | 11:07am
Pelajar Iran memaparkan slogan di tapak tangan ketika menyertai demonstrasi mengutuk tindakan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden di Tehran, Iran. - Foto AFP
Pelajar Iran memaparkan slogan di tapak tangan ketika menyertai demonstrasi mengutuk tindakan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden di Tehran, Iran. - Foto AFP

Kesungguhan politik terhad larang bakar al-Quran di Sweden

STOCKHOLM: Kesungguhan politik yang terhad di Sweden menggagalkan usaha mengharamkan pembakaran kitab suci al-Quran walaupun terdapat sokongan untuk usaha sedemikian, menurut pakar dan ahli politik.

Menurut pakar, berdasarkan undang-undang, politik semasa dan tradisi sosial Sweden, insiden seperti itu tidak mungkin dihentikan dalam masa terdekat.

Ini memandangkan perbuatan itu dilindungi oleh undang-undang kebebasan bersuara yang meluas dalam perlembagaan.

Mahkamah Sweden turut memutuskan polis tidak boleh menghentikan pembakaran kitab suci, sebaliknya insiden itu boleh dibawa ke mahkamah kerana menghasut kebencian.

Untuk meminda perlembagaan perlu proses panjang yang memerlukan undian di Parlimen, kemudian pilihan raya umum dan satu lagi undi di Parlimen.

Walaupun begitu, kerajaan Perdana Menteri, Ulf Kristersson berkata, ia akan meneliti sama ada terdapat kewajaran untuk meminda Akta Ketenteraman Awam bagi membolehkan polis menghentikan pembakaran al-Quran, di tengah-tengah kebimbangan terhadap keselamatan negara.

Isu pembakaran al-Quran berpotensi menjejaskan penyertaan Sweden ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), malah Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan turut memberi amaran Sweden tidak akan diterima dalam pakatan tentera jika pembakaran al-Quran berlaku di sana.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 57 negara memperkenalkan resolusi yang diluluskan di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada 12 Julai yang menggesa negara-negara menyemak semula undang-undang yang menghalang pendakwaan "kebencian agama."

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Ebba Busch dari Demokrat Kristian, berkata awal bulan ini, Sweden menentukan undang-undangnya dan tidak akan dipengaruhi oleh kepercayaan atau undang-undang negara lain.

"Sweden tidak membelakangkan Islamisme kerana membakar kitab suci adalah dilarang tetapi tidak menyalahi undang-undang," katanya dalam ciapan di Twitternya.

Bagaimanapun sebarang perubahan undang-undang akan menjadikan perbuatan itu menyalahi undang-undang dan tidak mungkin diluluskan kerana kerajaan minoriti bergantung kepada sokongan Demokrat Sweden, parti kedua terbesar di Parlimen selepas pilihan raya tahun lalu, yang antimigran dan kritis terhadap Islam.

"Demokrat Sweden tidak mempertimbangkan untuk memperkenalkan mana-mana undang-undang sedemikian di Sweden dan tidak berhasrat untuk menyokong mana-mana undang-undang sedemikian jika dikemukakan di Parlimen," kata Setiausaha Parti Demokrat Sweden, Richard Jomshof kepada Reuters.

Pembakaran al-Quran dibenarkan di Sweden, Denmark dan Norway tetapi negara jiran Finland mengharamkannya.

Sweden mempunyai undang-undang yang sama tetapi memansuhkannya pada 1970-an. Sebaliknya Sweden mempunyai undang-undang yang melarang ucapan kebencian terhadap kumpulan dan etnik, kebangsaan dan agama atas alasan orientasi seksual. - REUTERS

Berita Harian X