Jumaat, 9 Jun 2023 | 7:12am
Sukarelawan memindahkan mangsa banjir di Kherson, Ukraine. - Foto AFP
Sukarelawan memindahkan mangsa banjir di Kherson, Ukraine. - Foto AFP

WHO lihat kesan kesihatan teruk akibat kemusnahan empangan Ukraine

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata organisasi itu giat menyalurkan bekalan dan meningkatkan pengawasan selepas bencana empangan Ukraine, di tengah-tengah peningkatan ancaman kolera dan penyakit bawaan air yang lain.

Ukraine dan Russia saling menuduh berhubung pelanggaran empangan di selatan Ukraine pada Selasa, yang mencetuskan banjir besar dan memaksa ribuan orang meninggalkan rumah mereka, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana kemanusiaan.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi amaran bahawa kesan yang lebih luas terhadap kesihatan juga boleh menjadi dramatik.

"Kesan terhadap bekalan air, sistem sanitasi dan perkhidmatan kesihatan awam di rantau ini tidak boleh dipandang remeh," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

"WHO bergegas masuk untuk menyokong pihak berkuasa dan pekerja penjagaan kesihatan dalam langkah pencegahan terhadap penyakit bawaan air dan untuk meningkatkan pengawasan penyakit," katanya.

Pegawai teknikal WHO untuk respons kecemasan, Teresa Zakaria, berkata sampel bakteria taun ditemui dalam persekitaran di Ukraine, walaupun tiada lagi kes manusia dilaporkan di sana sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari tahun lalu.

"Pada bila-bila masa... kita boleh mula mencari kes," katanya kepada pemberita, sambil menambah bahawa WHO bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Ukraine untuk memastikan mekanisme disediakan bagi membolehkan pengimportan vaksin sebaik sahaja ia diperlukan.

Taun yang menyebabkan cirit-birit dan muntah dijangkiti daripada bakteria yang biasanya disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar.

Ia amat berbahaya untuk kanak-kanak dan boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.

Krisis kemanusiaan dan perpindahan berskala besar, yang sering menyebabkan orang ramai dalam persekitaran yang sesak dengan akses yang lemah kepada air bersih dan sanitasi yang betul boleh meningkatkan risiko kolera secara mendadak, jika bakteria itu ada.

Selain ancaman penyakit bawaan air, Zakaria berkata WHO cuba membantu menangani pelbagai risiko lain yang berkaitan dengan banjir.

Beliau merujuk kepada trauma dan lemas, tetapi juga potensi kelewatan dalam mengakses rawatan untuk keadaan kronik dan WHO prihatin dengan keadaan itu. - AFP

Berita Harian X