GENEVA: Lebih banyak tindakan proaktif bagi membanteras pencemaran plastik perlu dilakukan, kata Peneraju Dasar Plastik Global bagi Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Eirik Lindebjerg dalam temuramah bersama Xinhua, baru-baru ini.
"Pengeluaran berlebihan dan penggunaan plastik menyesakkan sungai dan lautan kita membunuh hidupan liar, mencemari makanan, udara dan air kita, dan krisis ini hanya bertambah teruk," kata Lindebjerg.
Beliau menekankan keperluan mendesak itu menjelang Hari Alam Sekitar Sedunia 2023 dan rundingan perjanjian pencemaran plastik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris.
"Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini adalah mengenai pencemaran plastik dan mencari penyelesaian menghentikan serta mengurangkan pencemaran plastik, yang menjadi salah satu krisis alam sekitar global yang paling cepat meningkat," katanya.
Mengikut Program Alam Sekitar PBB, lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun dan separuh daripadanya direka untuk digunakan sekali saja.
Daripada jumlah itu, kurang daripada 10 peratus dikitar semula, dengan anggaran 19 hingga 23 juta tan metrik plastik berakhir di tasik, sungai dan laut.
Rundingan perjanjian pencemaran plastik PBB, yang bertujuan membangunkan instrumen antarabangsa secara sah mengenai pencemaran plastik itu, akan diadakan di Paris antara 29 Mei dan 2 Jun ini.
"Ini adalah mesyuarat terakhir sebelum kita membincangkan teks undang-undang.
"Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk menghadiri mesyuarat ini dengan cita-cita besar dan bersedia untuk menentukan garis panduan serta peraturan global konkrit yang diperlukan," katanya.
Tambah beliau, rundingan perjanjian itu dijangka dimuktamadkan menjelang 2024 dan perunding ketika ini perlu menyempurnakan butiran teks perjanjian bagi menangani pencemaran plastik secara paling berkesan serta saksama.
"WWF menyeru satu perjanjian yang boleh mengharamkan atau menghapuskan dengan cepat plastik, produk, bahan kimia dan bahan tambahan yang paling berisiko tinggi daripada dihasilkan," kata Lindebjerg, sambil menekankan kepentingan penggunaan semula dan kitar semula bukan toksik pada skala besar.
Selain itu, katanya, perjanjian berkenaan perlu mempunyai mekanisme sokongan yang sesuai untuk pelaksanaan, seperti sokongan kewangan dan kerjasama teknikal.
Sambil memuji sumbangan China dalam bidang itu, Lindebjerg berkata, tindakan seperti promosi 'Inisiatif China Indah' dan pengukuhan pemuliharaan biodiversiti sebagai strategi nasional adalah antara langkah penting. - AGENSI