MOSCOW: Kawalan keselamatan di sempadan di wilayah Ukraine yang kini ditakluki Moscow perlu diperkukuh bagi memastikan pergerakan 'pantas' membabitkan tentera dan orang awam dari Russia, kata Presiden Vladimir Putin.
Berucap kepada perkhidmatan sempadan, cawangan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Russia, sempena Hari Pengawal Sempadan hari ini, Putin berkata, mereka ditugaskan untuk memastikan kawasan sekitar zon pertempuran 'dilindungi sebaiknya'.
"Sangat penting untuk memastikan pergerakan pantas bagi kenderaan dan kargo tentera serta orang awam, termasuk makanan dan agihan bahan binaan bantuan kemanusiaan kepada wilayah baharu Persekutuan (Russia)," katanya dalam mesej disiarkan di saluran Telegram Kremlin.
Putin pada September lalu, mengisytiharkan menawan empat wilayah Ukraine, iaitu Kherson, Zaporizhzhia, Luhansk dan Donetsk dengan ia dikatakan referendum palsu seperti didakwa Kyiv yang menyatakan tentera Russia hanya mengawal sebahagian daripada kawasan terbabit.
Berlaku lonjakan serangan di Russia beberapa minggu lalu, terutama serangan dron di kawasan sempadan yang semakin hampir ke persekutuan itu, termasuk di saluran minyak di barat laut Moscow, semalam.
Semalam, pegawai memaklumkan, tiga mangsa cedera susulan kejadian tembakan oleh Ukraine di Belgorod, wilayah menjadi sasaran pejuang pro-Ukraine minggu ini yang mencetuskan keraguan mengenai keupayaan pertahanan dan ketenteraan Russia.
Wilayah Kursk dan Belgorod milik Russia terletak di sempadan Ukraine menjadi sasaran serangan paling kerap yang mengakibatkan kerosakan infrastruktur kuasa, kereta api dan ketenteraan, dengan pegawai tempatan menyalahkan Ukraine bagi kejadian itu.
Kyiv hampir tidak pernah mengaku secara terbuka bertanggungjawab atas serangan di Russia dan di wilayah Ukraine yang dikuasai persekutuan itu, namun mendakwa persediaan bagi rancangan serangan darat adalah menerusi pemusnahan infrastruktur.
Ukraine semalam, menyatakan kesediaan melancarkan serangan balas untuk menawan semula wilayah ditawan Russia. - REUTERS