Sabtu, 20 Mei 2023 | 1:33pm
Pen pencucuk ubat kurangkan obesiti, Wegovy. - Foto REUTERS
Pen pencucuk ubat kurangkan obesiti, Wegovy. - Foto REUTERS

Ubat obesiti turut bermanfaat bagi kesihatan jantung

DUBLIN: Pengambilan ubat obesiti baharu, Novo Nordisk, dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan menurunkan berat badan.

Menurut penyelidikan baharu dari Amerika Syarikat (AS), selepas setahun mengambil semaglutide yang dipasarkan sebagai Wegovy, risiko pesakit mengalami serangan jantung atau strok dalam tempoh sepuluh tahun akan datang susut kepada 6.3 peratus daripada 7.6 peratus.

Keputusan itu dibentangkan minggu ini di Kongres Eropah mengenai Obesiti di Dublin dan adalah petunjuk pertama bahawa penurunan berat badan disebabkan oleh ubat agonis GLP-1 baharu seperti Wegovy turut memberi manfaat kepada kesihatan jantung.

Perkara itu sememangnya dijangkakan oleh saintis, namun tidak mempunyai banyak data komprehensif untuk membuktikannya.

Kajian hanya dilakukan dalam kalangan 93 pesakit dan penyelidik mengatakan bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk melihat kadar pengurangan risiko sebenar.

Novo dijangka mengeluarkan keputusan daripada percubaan SELECT yang dijalankan selama lima tahun bagi melihat kesan kesihatan ubatnya, ke atas penyakit jantung, pada akhir tahun ini.

Pelabur, kerajaan dan penanggung insurans sama-sama memerhati data itu dengan teliti.

Salah seorang penyelidik, Dr Andres Acosta, berkata perkara itu adalah amat penting.

"Kita tahu obesiti adalah faktor risiko penyakit kardiovaskular.

"Jadi persoalannya ialah, dengan ubat-ubatan yang mempunyai 15 peratus purata penurunan berat badan, bolehkah kita benar-benar mula memperbaiki risiko kardiovaskular dan mengatakan bahawa jumlah orang yang meninggal berkurangan?"

Risiko dikira menggunakan kiraan Kolej Kardiologi Amerika, berdasarkan data termasuk tekanan darah dan paras kolesterol.

Pasukan menilai risiko dalam kalangan pesakit, terutamanya wanita kulit putih, dengan purata BMI 39.8 dan tiada sejarah penyakit jantung sebelum ini dan selepas satu tahun pengambilannya.

Penyelidikan itu dikaji semula oleh penganjur kongres, Persatuan Eropah untuk Kajian Obesiti, namun kertas penuh masih belum tersedia. Kajian itu tidak dibiayai oleh Novo. - REUTERS

Berita Harian X