Jumaat, 19 Mei 2023 | 9:43pm
Peningkatan penyakit kolera disebabkan kemiskinan, konflik dan perubahan iklim serta perpindahan penduduk yang menyumbang kepada faktor pencetusnya. - Foto AGENSI
Peningkatan penyakit kolera disebabkan kemiskinan, konflik dan perubahan iklim serta perpindahan penduduk yang menyumbang kepada faktor pencetusnya. - Foto AGENSI

Satu bilion diancam kolera - PBB

GENEVA: Kira-kira satu bilion manusia di 43 negara berisiko dijangkiti taun atau kolera, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyuarakan kebimbangannya hari ini.

Walaupun wabak itu boleh dihentikan, PBB menjelaskan dunia sangat mengalami kekurangan sumber.

Agensi kesihatan PBB itu berkata, kira-kira sebanyak AS$640 juta (RM2.90 bilion) diperlukan untuk memerangi penyakit berjangkit berkenaan, tetapi tegasnya semakin banyak tempoh diperlukan untuk mengatasinya dan keadaan akan menjadi lebih buruk.

PBB juga berkata, selain itu kempen vaksinasi juga terjejas teruk.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu bilion manusia di 43 negara berisiko dijangkiti kolera," kata Pengurus Insiden agensi itu untuk tindak balas kolera global, Henry Gray.

Setakat tahun ini, sejumlah 24 negara melaporkan penularan wabak kolera, berbanding 15 pada pertengahan Mei tahun lalu.

Negara-negara yang biasanya tidak terjejas oleh kolera kini mengalaminya dan kadar kematian kes jauh melebihi kadar biasa satu dalam 100.

Gray menyatakan peningkatan penyakit itu disebabkan kemiskinan, konflik dan perubahan iklim serta perpindahan penduduk yang menyumbang kepada faktor pencetusnya.

"Dengan pertambahan bilangan negara yang terjejas akibat taun, sumber yang ada untuk pencegahan dan tindak balas semakin tipis," katanya.

Katanya, sebagai contoh vaksin kolera oral yang diperlukan lebih 18 juta dos untuk tahun ini, tetapi yang diperoleh hanya lapan juta dan oleh itu kempen pencegahan dihentikan.

Tambahnya, daripada dua dos penuh hanya satu yang dikeluarkan kepada penerima.

Kolera menular daripada bakteria yang biasanya disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar.

Ia mengakibatkan cirit-birit dan muntah, dan boleh membahayakan kanak-kanak kecil. - AFP

Berita Harian X