PARIS: Dunia mesti mengurangkan hingga separuh penggunaan plastik sekali pakai dan mengurangkan pembuangannya untuk mencegah pencemaran alam sekitar.
Menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, isu pencemaran plastik akan menjadi kritikal dalam beberapa tahun akan datang.
Kekhuatiran memuncak mengenai kesan sisa plastik ini, susulan serpihan mikroplastik ditemui dari dasar lautan paling dalam sehinggalah di puncak Gunung Everest.
Dalam tubuh manusia, ia boleh dikesan dalam darah, susu ibu dan plasenta.
Laporan yang disiapkan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) itu dikeluarkan dua minggu sebelum perunding dari hampir 200 negara bertemu di Paris bagi rundingan pusingan baru, bertujuan mencapai persetujuan undang-undang pada 2024, demi menghentikan pencemaran plastik.
Ia mengandungi tiga cabang berdasarkan penggunaan semula, kitar semula dan mempelbagaikan bahan yang digunakan, untuk membendung pencemaran plastik sekitar 80 peratus menjelang 2040 secara keseluruhan, dan mengurangkan separuh pengeluaran plastik sekali pakai.
menurut laporan itu, penyelidik menganggarkan bahawa plastik boleh mengeluarkan 19 peratus gas rumah hijau global menjelang 2040.
Ini pada dasarnya akan menghalang dunia daripada memenuhi komitmen Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan purata suhu permukaan planet kepada 1.5 darjah Celsius, melebihi paras pra industri.
"Cara kita membuat, menggunakan dan melupuskan plastik, mengakibatkan pencemaran ekosistem, menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia dan menggugat kestabilan iklim, kata Inger Andersen, pengarah eksekutif UNEP.
Beliau berkata, perancangan yang disediakan dalam laporan itu 'akan mengurangkan risiko secara ketara, dengan mengamalkan pendekatan bagi menghapuskan plastik dalam ekosistem, dari dalam darah kita dan juga ekonomi'.
Pada 2020, sekitar 238 juta tan metrik sampah adalah plastik sekali guna seperti bungkusan yang dibuang dan ini berlaku di serata dunia.
Secara kasar, separuh plastik yang dilupuskan itu tidak diselenggara dengan betul, kebanyakannya dibuang di sekitaran atau dibakar.
Jika tidak ada perubahan ketara, UNEP menjangka setiap tahun, sampah plastik ini akan mencecah 408 juta tan metrik menjelang 2040.
Laporan itu menganggarkan, dengan adanya 'perubahan sistem', angka pencemaran itu boleh dikurangkan menjadi 41 juta tan metrik.
Penggunaan semula, bukan kitar semula, dikenal pasti sebagai langkah paling berkesan dan dapat mengurangkan pencemaran plastik sehingga 30 peratus menjelang 2040.
Sementara pemerintah disaran memberikan insentif bagi melaksanakan perubahan ini, peruncit pula perlu memudahkan kaedah bagi pemulangan bungkusan.
Pengguna juga harus 'menghentikan kebiasaan pakai buang dan membiasakan diri supaya tidak hanya melihat pada kemasan yang cantik'.
Kaedah kitar semula, jika dilaksanakan dengan baik, dapat mengurangkan pencemaran sekitar satu 20 peratus, menurut laporan itu lagi. - AFP