KYIV: Ukraine hari ini mendakwa berjaya menembak jatuh enam peluru berpandu hipersonik berteknologi tinggi ketika serangan puluhan peluru berpandu dan dron sepanjang malam, yang menggambarkan peningkatan sistem pertahanan udara negara itu.
"Satu lagi kejayaan luar biasa untuk Tentera Udara Ukraine! Semalam, pertahanan udara kita menembak jatuh enam peluru berpandu hipersonik Kinzhal milik Russia dan 12 peluru berpandu lain," kata Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov dalam satu kenyataan di Twitter.
Kenyataan itu dikeluarkan hanya kira-kira seminggu selepas Ukraine memaklumkan berjaya menembak jatuh peluru berpandu hipersonik Kinzhal buat pertama kali, menggunakan sistem pertahanan yang dibekalkan Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu, Ukraine memaklumkan pihaknya berjaya memusnahkan semua 18 peluru berpandu dan sembilan dron yang dilancarkan tentera Russia sepanjang malam.
Presiden Russia, Vladimir Putin, yang memperkenalkan peluru berpandu Kinzhal pada 2018, menyifatkannya sebagai 'senjata yang terbaik' dan amat sukar untuk dipintas.
Sebelum ini, Ukraine merayu kepada sekutunya untuk membantu negara itu memperkukuhkan pertahanan udaranya berdepan serangan Russia ketika musim sejuk.
Kyiv menerima sumbangan pertama sistem pertahanan udara US Patriot daripada AS pada pertengahan April lalu, yang digunakan untuk menembak jatuh peluru berpandu Kinzhal yang pertama.
Bagaimanapun, kenyataan Ukraine hari ini tidak memperincikan jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh peluru berpandu Kinzhal yang dilancarkan Russia semalaman.
Sementara itu, Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, berkata beberapa serpihan dikesan jatuh di beberapa daerah di Kyiv, termasuk di sebuah zoo, yang menyebabkan tiga individu cedera. - AFP