Sabtu, 13 Mei 2023 | 5:53pm
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. - REUTERS
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. - REUTERS

Erdogan terima apa juga keputusan pemilih Presiden, rela berundur jika tewas

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sedia menerima keputusan undian pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung esok termasuk kemungkinan berundur sekiranya tewas.

Kesediaan itu seperti dilaporkan Agensi Akhbar Jerman sekali gus menafikan kebimbangan bahawa Erdogan mungkin tidak akan meninggalkan tampuk kuasa itu.

"Soalan yang sangat tidak masuk akal. Kami berkuasa melalui cara demokrasi di Turkiye.

"Jika rakyat memutuskan sebaliknya, saya akan melakukan apa yang diperlukan oleh demokrasi, tiada yang lain lagi untuk dilakukan," demikian reaksi beliau ketika ditanya sama ada beliau akan terus bertahan pada tampuk kuasa.

Reaksi itu disiarkan di televisyen lewat Jumaat lalu.

Erdogan berkata, partinya akan menghormati sebarang keputusan yang diperoleh daripada peti undi dan jika pembangkang bimbang mengenai keselamatan pilihan raya, mereka sepatutnya memantau semua pusat mengundi dan 'memastikan keselamatan' seperti dilakukan oleh ahli partinya.

"Kehendak negara tidak boleh dikompromi," katanya.

Dalam pada itu, Erdogan percaya beliau akan dipilih semula untuk penggal seterusnya serta memperoleh majoriti Parlimen pada pemilihan esok.

Selepas 20 tahun menerajui Turkiye, Erdogan menghadapi ujian pilihan raya paling sukar di tengah kemarahan orang ramai terhadap masalah ekonomi, pengendalian gempa bumi besar yang meletus Februari lalu dan kira-kira 3.5 juta pelarian Syria.

Seorang calon pembangkang bersatu, Kemal Kılıçdaroğlu, sedikit di hadapan dalam perolehan undian.

Dalam pada itu, Ketua Parti Inovasi Turkiye, Ozturk Yilmaz, ketika bercakap kepada Sputnik berkata Turkiye akan mengekalkan hubungan strategik dengan Russia tanpa mengira apa sekalipun keputusan pilihan raya presiden dan parlimen yang akan datang, memandangkan Moscow rakan kongsi penting Ankara.

"Mengenai hubungan dengan Rusia, saya tidak jangkakan sebarang perubahan dramatik akan berlaku. Russia adalah rakan strategik kami dalam banyak aspek.

"Oleh itu sesiapa pun yang berkuasa, mereka tidak boleh mengabaikan realiti berkenaan," kata Yilmaz.

Pada masa sama, ahli politik pembangkang itu mendakwa Kemal Kilicdaroglu yang dianggap sebagai lawan utama Erdogan, membuat pelbagai janji kepada Barat, kerana mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan negara Barat.

"Beliau (Kilicdaroglu) bertindak seolah-olah mahu menjauhkan diri dari Russia dan menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat. Beliau tidak bersendirian kerana orang di sekelilingnya memberikan idea itu," dakwa Yilmaz.

Selain Erdogan dan Kilicdaroglu sebagai wakil pakatan pembangkang, Sinan Ogan daripada ATA Alliance akan turut bersaing merebut jawatan presiden.

Berdasarkan tinjauan awal, masih belum dapat memberikan gambaran siapa yang bakal menang. Jika tiada calon memperoleh 50 undi, pemilihan pusingan kedua akan dijalankan pada 28 Mei.

Parti Inovasi ialah parti pembangkang Turkiye yang diasaskan Yilmaz pada 2020 selepas beliau dipecat daripada Parti Rakyat Republikan ekoran konflik dalaman. – BERNAMA

Berita Harian X