MADRID: Kajian saintifik antarabangsa pada Jumaat, mendapati panas melampau yang melanda Semenanjung Iberia dan beberapa bahagian Afrika Utara, minggu lalu boleh mencecah ke paras hampir mustahil tanpa perubahan iklim.
Menurut Gabungan Cuaca Dunia (WWA) yang mana saintisnya mengkaji kaitan antara kejadian cuaca ekstrem dan perubahan iklim, gelombang haba awal yang luar biasa membabitkan suhu tempatan sehingga 20 darjah Celsius lebih panas daripada biasa dengan rekod April dipecahkan sehingga enam darjah.
Jisim udara panas dan kering dari Afrika Utara hingga ke Semenanjung Iberia awal minggu lalu, mendorong suhu mencatatkan paras tertinggi untuk April, dengan merkuri mencecah 38.8 darjah Celsius di selatan Sepanyol dan 36.9 darjah Celsius di tengah Portugal.
Suhu setinggi itu kebiasaannya hanya cenderung berlaku pada Julai.
Di Maghribi, rekod tempatan dipecahkan dengan suhu meningkat melebihi 41 darjah Celsius di beberapa tempat, manakala di Algeria, ia melebihi 40 darjah Celsius.
Sementara itu, agensi cuaca Sepanyol, AEMET, pula memberitahu negara itu pada April merekodkan cuaca paling kering dan paling panas sejak sekurang-kurangnya 1961.
Menurut laporan WWA, perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia menjadikan gelombang haba sehingga memecahkan rekod di Sepanyol, Portugal, Maghribi dan Algeria.
"Ia sekurang-kurangnya 100 kali ganda lebih kepanasannya, mencecah hampir mustahil tanpa perubahan iklim.
"Ia menyebabkan suhu sehingga 3.5 darjah Celsius lebih panas daripada yang sepatutnya berlaku tanpa perubahan iklim, sekali gus mencetuskan peristiwa yang disifatkan sebagai jarang berlaku," katanya.
Katanya, suhu tinggi luar biasa itu menyusuli kemarau dalam tempoh beberapa tahun di wilayah terbabit, sekali gus memburukkan lagi kesan haba ke atas pertanian yang sudah diancam oleh peningkatan kekurangan air.
Sementara itu, ketika pelancaran laporan berkenaan, seorang penyelidik di Institut Meteorologi Diraja Belanda, Sjoukje Philip, berkata pihaknya menjangkakan gelombang haba yang lebih kerap dan kuat pada masa hadapan apabila pemanasan global berterusan.
Di Sepanyol, yang turut dikenali sebagai kebun sayur Eropah, kesatuan petani utama iaitu COAG, memberi amaran bahawa 60 peratus tanah pertanian kini berada dalam situasi nyawa-nyawa ikan akibat kekurangan hujan.
Dengan takungan air kini berada pada separuh daripada kapasitinya, Sepanyol meminta Brussels untuk membantu dengan mengaktifkan dana rizab krisis pertanian Kesatuan Eropah (EU).
Menurut pakar, beberapa bahagian di Sepanyol adalah yang paling kering dalam tempoh 1,000 tahun ini, dengan kemarau yang berterusan mendorong beberapa petani memilih untuk tidak menyemai tanaman.
Pakar Sains Iklim Kanan di Institut Grantham untuk Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Kolej Imperial London, Friederike Otto, berkata Mediterranean adalah antara kawasan paling terdedah kepada perubahan iklim di Eropah.
"Wilayah ini sudahpun mengalami kemarau yang sangat teruk dan berpanjangan dengan suhu tinggi berlaku ketika sepatutnya hujan, memburukkan lagi keadaan. - AFP