GENEVA: Lebih sejuta vaksin polio dilaporkan hilang di Sudan ketika peningkatan keganasan di negara itu sejak April lalu, Agensi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberitahu Reuters hari ini.
"Sejumlah kemudahan sejuk untuk menyimpan vaksin berkenaan dirompak, dirosakkan dan dimusnahkan.
"Ia termasuk lebih sejuta vaksin polio di Darfur Selatan," kata Timbalan Pengarah Pejabat Program Kecemasan UNICEF, Hazel De Wet memberitahu Reuters menerusi e-mel.
Agensi itu berada di tengah-tengah siri kempen vaksinasi polio di Sudan berikutan penularan wabak itu pada penghujung 2022.
Afrika diisytiharkan bebas daripada polio pada 2020.
Pertempuran di Sudan mengorbankan 190 kanak-kanak dan menyebabkan 1,700 yang lain cedera.
Negara Afrika yang dilanda konflik itu diselubungi keganasan selama berminggu-minggu berikutan pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
"Keadaan di Sudan semakin terumbang-ambing ke arah malapetaka, dan kanak-kanak semakin terperangkap dalam pertempuran," kata Agensi Anadolu memetik UNICEF dalam satu kenyataan. - REUTERS