Khamis, 4 Mei 2023 | 2:09pm
 Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto fail REUTERS
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto fail REUTERS

WHO pertimbang sama ada dunia bersedia tamatkan darurat kecemasan COVID

LONDON: Panel pakar kesihatan global akan membuat penilaian status COVID-19 sama ada ia masih kecemasan mengikut peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), status yang membantu mengekalkan tumpuan antarabangsa terhadap pandemik itu.

WHO pertama kali mengklasifikasikan COVID-19 di tahap amaran tertinggi pada 30 Januari 2020 dengan pengkelasan itu terus digunakan, walaupun mesyuarat panel berkenaan diadakan setiap tiga bulan.

Bagaimanapun, beberapa negara baru-baru ini mula menarik balik keadaan darurat domestik, antaranya Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berharap untuk menamatkan keadaan darurat antarabangsa tahun ini.

Penasihat WHO dan pakar lain menjelaskan panel itu belum mencapai sebarang konsensus berhubung perkara berkenaan, selain ada yang menyuarakan sudah tiba masa untuk beralih kepada konsep 'hidup bersama COVID-19' sebagai ancaman kesihatan berterusan seperti HIV atau batuk kering.

Sementara itu, pakar virologi Belanda yang juga ahli panel WHO, Prof Marion Koopmans, mengakui ada kemungkinan status darurat ditamatkan, namun penting untuk mengambil kira COVID-19 kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang kompleks.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas spekulasi perbincangan mengenai perkara itu.

Sumber pula berkata, penangguhan status 'darurat kesihatan awam antarabangsa' (PHEIC) boleh memberi kesan kepada pembiayaan global atau usaha kerjasama.

Seorang lagi sumber berkata, keputusan itu sukar dibuat ketika ini susulan faktor ketidaktentuan virus terbabit.

Sementara itu, pakar COVID-19 yang bukan panel WHO, Prof Salim Abdool Karim mengakui pencapaian setiap negara berada pada tahap berbeza, namun semuanya masih belum keluar daripada pandemik.

Beliau yang sebelum ini, memberi nasihat tindak balas COVID-19 kepada kerajaan Afrika Selatan, menegaskan program saringan, vaksinasi dan rawatan perlu dikekalkan, jika status darurat ditarik balik.

Profesor perundangan dari Universiti Georgetown, AS, Lawrence Gostin pula berkata, semua perintah darurat perlu dibubarkan, selain menjangkakan WHO akan menamatkan darurat kesihatan awam yang menjadi kebimbangan global.

"Jika WHO tidak menamatkannya (dalam pertemuan kali ini)... mereka pastinya akan berbuat demikian pada pertemuan akan datang," katanya. - REUTERS

Berita Harian X