Sabtu, 15 April 2023 | 7:13pm
Penunjuk perasaan membawa sepanduk menunjukkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ketika demonstrasi hari ke-12 di seluruh negara, membantah reformasi pencen di Paris. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan membawa sepanduk menunjukkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ketika demonstrasi hari ke-12 di seluruh negara, membantah reformasi pencen di Paris. - Foto REUTERS

Undang-undang rombakan skim pencen Perancis diluluskan

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini menandatangani rang undang-undang (RUU) untuk menaikkan umur pencen yang menjadi pencetus kepada protes besar-besaran selama beberapa bulan.

Pengisytiharan undang-undang itu dibuat selepas Majlis Perlembagaan Perancis meluluskan kenaikan umur pencen utama itu semalam, tanpa mempedulikan tunjuk perasaan berbulan-bulan menentang rancangan itu.

Undang-undang itu, yang secara beransur-ansur menaikkan umur pencen daripada 62 kepada 64, tidak diterima dan protes serta-merta tercetus apabila keputusan Majlis Perlembagaan diumumkan.

Susulan itu, orang ramai berarak melalui Paris semalam, dengan beberapa tong sampah dibakar, manakala di bandar barat laut Rennes, pintu masuk ke balai polis turut dibakar.

Kesatuan sekerja menggesa kerajaan untuk tidak meluluskan undang-undang itu, walaupun mendapat lampu hijau daripada Majlis Perlembagaan dan menggesa pekerja untuk berarak pada Hari Pekerja 1 Mei ini.

Tindakan itu dilakukan Presiden sebagai satu pembaharuan mengenai perubahan pencen, yang menurutnya diperlukan untuk mengelakkan defisit berbilion euro setiap tahun menjelang akhir dekad.

"Jangan sesekali berputus asa, itu motto saya," katanya sebelum keputusan Majlis Perlembagaan, ketika dia melawat Notre-Dame pada ulang tahun kebakaran yang memusnahkan katedral Paris yang terkenal itu.

Kerajaan merancang untuk menggunakan undang-undang baharu itu mulai 1 September ini.

Ahli Parlimen dari parti sayap kiri LFI, Francois Ruffin, menuduh kerajaan mengisytiharkan undang-undang pencen secara berselindung, 'seperti pencuri di malam hari'.

Parti pembangkang membentangkan satu lagi tawaran untuk referendum rakyat mengenai pembaharuan itu selepas Majlis Perlembagaan menolak cadangan pertama.

Sistem pencen adalah asas kepada model perlindungan sosial yang dihargai Perancis dan kesatuan sekerja mengatakan pembiayaan tambahan boleh didapati di tempat lain, termasuk dengan mengenakan cukai lebih banyak kepada orang kaya.

Penolakan orang ramai terhadap reformasi semakin meningkat sejak kerajaan, yang tidak mempunyai majoriti di Parlimen, menolak RUU itu pada Mac tanpa undian terakhir, menggunakan kuasa Perlembagaan khas. - REUTERS

Berita Harian X