PARIS: Pengawal selia data pusat Kesatuan Eropah (EU) membentuk pasukan tindakan khas untuk membantu negara menangani isu chatbot yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) serta amat popular kini, ChatGPT, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas syarikat penciptanya, OpenAI yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Itali mengharamkan sementara program itu pada bulan lalu susulan dakwaan pengumpulan datanya melanggar undang-undang privasi, manakala pengawal selia Perancis memaklumkan pihaknya telah membuka prosedur rasmi selepas menerima lima aduan.
Agensi Perlindungan Data Sepanyol (AEPD) berkata, ia juga telah membuka siasatan terhadap perisian serta pemiliknya di AS, dan memaklumkan walaupun ia menyokong pembangunan AI, ia mesti selari dengan kebebasan serta hak peribadi.
ChatGPT boleh menghasilkan esei, puisi dan perbualan daripada permintaan paling ringkas, serta terbukti mampu melepasi beberapa peperiksaan yang sukar.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa 'kepakaran' berkenaan boleh membawa kepada penipuan yang meluas di sekolah, menyebarkan maklumat salah melalui laman sesawang, dan menggantikan pekerjaan manusia.
Chatbot itu hanya boleh berfungsi jika ia dilatih dengan set data yang luas, justeru mencetuskan kebimbangan mengenai dari mana OpenAI mendapatkan data dan cara maklumat berkenaan dikendalikan.
Pengawal selia Perancis, CNIL yang dianggap sebagai paling berkuasa di Eropah, membuka kes selepas menerima lima aduan, termasuk daripada Ahli Parlimen, Eric Bothorel.
Beliau mendakwa, chatbot itu telah mencipta butiran kehidupannya, termasuk tarikh lahir dan sejarah kerjaya.
Selepas Itali menghentikan sementara ChatGPT, OpenAI memberitahu AFP bahawa ia 'komited melindungi privasi orang ramai' dan percaya bahawa peralatannya mematuhi undang-undang. - AFP