Khamis, 6 April 2023 | 5:03pm
Tanaman soya yang terjejas oleh kemarau dan suhu tinggi di Baradero, wilayah Buenos Aires, Argentina, pada 30 Mac 2023. - Foto AFP
Tanaman soya yang terjejas oleh kemarau dan suhu tinggi di Baradero, wilayah Buenos Aires, Argentina, pada 30 Mac 2023. - Foto AFP

Bumi pada Mac catat rekod kedua terpanas

PARIS: Bumi mencatatkan rekod kedua terpanas pada Mac dengan ais laut Antartika menyusut ke tahap kedua terendah, menurut Agensi Pemantauan Iklim Kesatuan Eropah (EU) hari ini.

"Mac adalah bulan kedua paling panas di dunia," menurut laporan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus.

Laporan itu berdasarkan analisis komputer yang menggunakan berbilion-bilion ukuran daripada satelit, kapal, pesawat dan stesen cuaca di seluruh dunia.

Agensi itu menjelaskan, suhu melebihi purata dicatat di selatan dan tengah Eropah, sementara di bawah purata pula dicatat di kebanyakan utara Eropah.

Katanya, suhu purata jauh lebih panas dicatat di Afrika Utara, barat daya Russia, Asia, timur laut Amerika Utara, Amerika Selatan termasuk Argentina yang dilanda kemarau, Australia serta pantai Antartika.

Sebaliknya agensi itu memberitahu, ia jauh lebih sejuk daripada purata yang dicatat di barat dan tengah Amerika Utara.

Pemanasan global menyebabkan ais laut menyusut dan paras air laut meningkat, sekali gus meningkatkan amaran situasi bahaya akan tiba.

Copernicus berkata, keluasan ais laut Antartika adalah yang kedua terendah pada Mac dalam rekod 45 tahun data satelit, iaitu pada 28 peratus di bawah purata.

Ia mencapai kawasan terkecil dalam rekod pada Februari untuk tahun kedua berturut-turut, meneruskan penurunannya selama sedekad.

Sementara itu di utara, rekod menunjukkan keluasan ais laut Artik adalah empat peratus di bawah purata dan keempat terendah bagi Mac, biarpun kepekatannya melebihi purata di Laut Greenland.

Apabila suhu meningkat di seluruh dunia ekoran perubahan iklim yang disebabkan manusia, data Copernicus menunjukkan lapan tahun yang lalu adalah paling panas dalam rekod.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Mac bahawa suhu tertinggi itu akan menjadi antara paling sejuk dalam tempoh tiga atau empat dekad apabila suhu global meningkat, biarpun pelepasan pemanasan planet menurun dengan cepat. - AFP

Berita Harian X